Sukan

Nicol berterima kasih kepada rakyat Malaysia

BEKAS ratu skuasy negara Datuk Nicol David berterima kasih kepada rakyat Malaysia  selepas dinobatkan sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, malam tadi.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang berusia 37 tahun kekal di kedudukan teratas untuk 109 bulan berturut-turut, menerima anugerah yang menjadi rebutan itu, menewaskan 23 lagi atlet selepas mendapat undian tertinggi menerusi pemilihan dalam talian di laman sesawang, Sukan Dunia   https://www.theworldgames.org.

Selaku calon tunggal Asia, Nicol membuktikan beliau berada di dalam kelas tersendiri sejak hari pertama pengundian pada 8 Jan apabila menerima  318,943 undi, meninggalkan pencabar terdekat James Kehoe, seorang atlet tarik tali dari Ireland dengan kelebihan 200,000 undi.

Kehoe memperoleh 113,120 undi untuk berada di tempat kedua diikuti atlet powerlifting dari Ukraine, Larysa Soloviova, di tempat ketiga dengan 80,790 undi.

“Saya sugguh teruja mendapat anugerah  Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia dan rasa sungguh terharu di atas sokongan daripada rakyat Malaysia, komuniti skuasy, setiap orang, keluarga dan rakan saya yang  menggembirakan saya, katanya kepada Bernama menerusi satu klip video, hari ini.


“Saya sungguh tidak terkata di atas penghormatan, pengiktirafan ini. Saya sungguh terhutang budi kepada anda untuk mencapai kemenangan ini,” kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Mej (B) S Maniam berkata dalam  Bernama TV “Mid-Day Update”  bahawa Nicol berhak menerima anugerah itu berdasarkan kesungguhan dan dedikasi beliau kepada sukan itu dalam beberapa dekad lalu.

Beliau adalah seorang atlet yang berdedikasi dan rajin tetapi Nicol memiliki pasukan yang besar di belakangnya, SRAM yang memainkan peranan utama bersama Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan para jurulatih.  Ini ialah usaha bersama,” kata Maniam.

SRAM nampak bakat beliau sejak berusia sembilan tahun lagi, tidak gentar kepada sesiapa walaupun lawannya mempunyai raking lebih tinggi tetapi sentiasa memasuki gelanggang dengan keyakinan dia boleh menang.

Nicol memiliki kekuatan mental yang tinggi, suatu kelebihan yang sangat diperlukan dalam sukan skuasy dan satu perkara lagi ialah Nicol adalah berbeza daripada pemain-pemain lain di dunia.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, berterima kasih kepada rakyat negara ini yang memberikan sokongan padu kepada Nicol sejak undian dibuka sejak awal bulan lepas.

Beliau berkata pemilihan Nicol untuk menerima anugerah berkenaan telah mengharumkan nama Malaysia dan rakyat Malaysia.

“Saya terharu dengan sokongan rakyat Malaysia dan sememangnya ia satu pengiktirafan yang cukup besar buat beliau sendiri dan kepada negara. Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi dan motivasi kepada atlet-atlet negara untuk terus berusaha serta mengukir pencapaian yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai,” kata Reezal Merican. – BERNAMA

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button