Sukan

Hafizh perlu bangkit di Catalunya

PERLUMBAAN Grand Prix (GP) Catalunya di Sepanyol, hujung minggu ini, amat penting buat pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk mempamerkan kebangkitan selepas gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlumbaan terdahulu di Itali yang menyaksikan anak muda itu masih bergelut dengan masalah kecergasan.

Pelumba Oceanica Aspar Team itu perlu berasa terdesak untuk memperbaiki prestasinya dan sekali gus, keluar daripada kesuraman.

Pelumba berasal dari Ampang, Selangor itu perlu mencari jalan untuknya mendapatkan rentak kutipan mata, bagi mengelak dia terus ketinggalan di belakang, musim ini.

Aksi konsisten yang dipamerkan rakan sepasukannya, Aron Canet dari Sepanyol dalam setiap perlumbaan harus dijadikan sebagai cabaran untuk Hafizh bangkit dalam perlumbaan.

Hafizh sendiri mengakui betapa penting untuknya beraksi baik di atas trek dan memastikan dirinya kembali 100 peratus cergas.

“Saya perlu memandang ke depan dan memikirkan tentang GP baharu. Kami akan berlumba di Barcelona, salah sebuah litar yang amat saya minati dan saya akan melakukan yang terbaik,” kata Hafizh yang dipetik kenyataannya menerusi media sosial, Facebook.

Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, selepas ditimpa kemalangan serius di Austria, dia terpaksa bersaing di Misano dalam keadaan fizikal dirinya yang belum 100 peratus cergas.

“Saya amat berharap dapat kembali cergas 100 peratus. Amat penting untuk saya bekerja keras dan terus bersaing bagi membolehkan saya meraih kedudukan hadapan,” ujarnya.

Pelumba yang mendapat jolokan Pescao oleh peminatnya itu kini menghuni kedudukan ke-19 dalam senarai pelumba Moto2 kejuaraan motosikal dunia setelah mengumpul 17 mata. – SM

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button