Nasional

NGO hasilkan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan

MENYEDARI keperluan pelindung muka kepada petugas kesihatan barisan hadapan melawan COVID-19, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Sabah mengambil inisiatif menghasilkan alat berkenaan untuk diagihkan kepada petugas di negeri itu sejak minggu lepas.

Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sandakan memulakan inisiatif itu 23 Mac lalu, selepas melihat petugas barisan hadapan khususnya di Hospital Duchess of Kent Sandakan, memerlukan pelindung muka lebih banyak dalam mendepani kes COVID-19 yang semakin meningkat.

Kuartermaster BSMM Sandakan Chong Thau Kuen berkata sebanyak 27 pegawai termasuk sukarelawan badan itu telah membantu menghasilkan pelindung muka yang kini sudah memasuki fasa ketiga.

“Bagi fasa pertama, kami telah menyerahkan sebanyak 354 unit pelindung muka kepada petugas barisan hadapan di hospital dan klinik kesihatan di Sandakan pada 24 Mac, manakala untuk fasa kedua pula, sebanyak 2,000 unit telah diserahkan pada Sabtu (28 Mac).

“Sekarang, kami masih dalam proses fasa ketiga dan kami berusaha untuk menghasilkan 2,000 unit  pelindung muka lagi. Namun, kami mengalami sedikit kekangan untuk mendapatkan bahan kerana banyak kedai tutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Chong berkata sukarelawan BSMM Sandakan yang terlibat dalam penghasilan pelindung muka itu beroperasi dari rumah masing-masing susulan penguatkuasaan PKP.

Katanya, selagi diperlukan, BSMM Sandakan akan menghasilkan lebih banyak pelindung muka dan pihaknya turut mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin menderma bahan-bahan bagi menghasilkan peralatan tersebut.

Pertubuhan Amal Kebajikan Insan Sejagat Malaysia Sabah turut mengambil inisiatif sama dalam memastikan keperluan itu mencukupi khususnya di Hospital Queen Elizabeth (HQE), dengan menyediakan bahan-bahan diperlukan kepada hospital itu.

Timbalan Pengerusinya, Punjungan Mustapah berkata, difahamkan HQE memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 unit alat tersebut setiap hari.

Pihaknya juga sedang berusaha mengumpul dana dalam kalangan ahli bagi memastikan keperluan untuk menyediakan pelindung muka itu dapat dipenuhi, katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button