fbpx
Nasional

Permohonan kerajaan tangguh keputusan lucut hak harta UMNO, MCA 4 Mei

MAHKAMAH Tinggi menetapkan tarikh baharu untuk mendengar permohonan kerajaan bagi menangguhkan keputusan mahkamah yang menolak permohonannya untuk melucutkan hak wang berjumlah lebih RM194 juta yang dirampas daripada UMNO, Wanita MCA, dan dua syarikat.

Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali berkata permohonan itu sepatutnya didengar hari ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, bagaimanapun telah dilapangkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pihak pendakwaan dan peguam telah menerima e-mel daripada mahkamah pada Jumaat lepas (27 Mac) memaklumkan pendengaran hari ini dilapangkan dan dijadual semula ke 4 Mei,” katanya kepada Bernama menerusi mesej WhatsApp hari ini.

Beliau berkata pihak pendakwaan juga telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada bulan lepas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan bagi lucut hak itu.

Wang yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu didakwa ada kaitan dengan skandal salah guna dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Pada 7 Feb, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah lebih  RM194 juta dirampas daripada UMNO, Wanita MCA, dan dua syarikat, Binsabi Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd.

Hakim membuat keputusan itu atas alasan wang itu diyakini tidak diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiada bukti untuk menunjukkan wang itu diperoleh daripada aktiviti haram.

Permohonan lucut hak harta terhadap UMNO melibatkan wang berjumlah RM192,965,413.61 dan RM300,000 daripada Wanita MCA, manakala Perano yang berniaga hijab, dan Binsabi yang membekalkan khemah, masing-masing sebanyak RM337,634.78 dan RM827,250, dengan mereka didakwa menerimanya daripada Najib.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta terhadap empat responden menurut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

— BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button