Berita

Agong berangkat ke Majlis Munaqasyah agama di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 6 Feb  — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri Di Bawah Naungan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Majlis yang bermula pada 10 pagi itu berlangsung kira-kira dua jam.

Menerusi kenyataan Istana Negara, Majlis Munaqasyah itu bertujuan untuk memantapkan lagi agensi-agensi agama di samping mendapat maklumat perkembangan hal ehwal agama Islam di negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka.

Negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka ialah Pahang, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, seperti yang termaktub di bawah Perkara 3(2), 3(3) dan 3(5) Perlembagaan Persekutuan.

Majlis kali ketiga atas insiatif Seri Paduka itu dianjurkan bersama antara Istana Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kali pertama ia dianjurkan pada 20 Jun tahun lepas dan diikuti kali kedua pada 7 Okt 2019.

Majlis hari ini turut disertai Ketua Pengarah Jakim Datuk Paimuzi Yahya, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dan semua Pengerusi serta Yang di-Pertua Majlis Agama Islam, mufti dan Pengarah Jabatan Agama Islam negeri-negeri di bawah naungan Seri Paduka.

Antara kertas kerja dan taklimat yang dibentangkan kepada Seri Paduka ialah Peningkatan Status Ketua Hakim Syarie dan Hakim Syarie di Mahkamah Syariah; Pelaksanaan Dasar RAHMAH Dalam Pentadbiran Negara; dan taklimat Pemisahan Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Negeri Kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri.

Rumusan daripada pembentangan kertas-kertas kerja itu akan dikemukakan oleh Seri Paduka ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-256 yang dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 Feb ini.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka menzahirkan harapan agar majlis Munaqasyah kali ini bukan sahaja memantapkan, bahkan turut memartabat dan melancarkan lagi pengurusan hal ehwal Islam di negeri-negeri di bawah naungan baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pembentang dan peserta yang terlibat dalam menjayakan Majlis Munaqasyah kali ketiga itu.

— BERNAMA

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button