Mourinho panggil jurulatih Southampton bodoh, pertikai VAR
SEPERTI biasa, apabila tewas José Mourinho akan hilang sabar. Ini yang berlaku pada perlawanan Tottenham menentang Southampton apabila dia menggelar jurulatih The Saint sebagai bodoh. Menuduh budak pengutip bola di stadium St Mary dilatih membuang masa selain berkata, VAR perlu dijenamakan ketika pasukannya Spur kehilangan ketua pasukan Harry Kane kerana kecederaan hamstring dan tewas 1-0.
Pengurus Tottenham itu mengaku dia menerima kad kuning kerana bertindak biadap kepada jurulatih penjaga gol Southampton, Andrew Sparkes, ketika menyerbu ke tempat duduk pemain simpanan tuan rumah kerana kecewa dan merasakan Sparkes membazirkan masa.
“Saya rasa kad kuning itu adil sebab saya biadap. Tetapi saya biadap kepada orang yang bodoh. Saya biadap bersebab. Tetapi disebabkan saya biadap saya layak menerima kad kuning,” katanya.
Mourinho juga melepaskan kemarahannya kepada pengutip bola.
“Separuh masa kedua tidak mudah. Mereka mendahului. Mereka bertahan dengan 10 pemain, memberikan tentangan hebat dan agresif. Dengan kekasaran yang banyak, banyak kali perlawanan dihentikan dan pengutip bola dilatih untuk melengahkan permainan jadi tidak ada banyak masa untuk kami bermain,” katanya.
Kemudian dia menyalahkan VAR, meminta supaya ditukar nama.
“Pada ketika ini pengadil bukan lagi pengadil. Saya rasa VAR perlu ditukat nama sebab ‘video assistant referee’ tidak betul, Ia sepatutnya VR saja, ‘video referee, sebab mereka yang menjadi pengadil, mereka yang menjadi pembantu. Mereka yang membuat keputusan untuk perlawanan,” katanya.
Malah Mourinho turut dikecewakan dengan kecederaan yang dialami Kane yang tahap keseriusannya belum diketahui.
Spur sebelum itu kehilangan Tanguy Ndomble, pemain yang dibeli dengan nilai 55 juta pound itu terpaksa dikeluarkan selepas 25 minit perlawanan selepas perlanggaran dengan pemain tengah Southampton, Stuart Armstrong.
“Dia selalu cedera. Dia main satu perlawanan, perlawanan berikutnya dia cedera,” katanya.