fbpx
Sukan

Masters Malaysia: Adik tewaskan abang

KALAH atau menang adat bertanding, begitulah pengakhiran beregu lelaki senior Malaysia Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tidak dapat meneruskan kemaraan dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2020 selepas ditundukkan beregu muda negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Arena Axiata, di sini hari ini.

Aaron-Wooi Yik menyingkirkan senior mereka V Shem-Wee Kiong seawal pusingan pertama dengan keputusan 21-19, 21-18 menerusi aksi yang lebih baik dan kurang melakukan kesilapan.

“Hari ini punya prestasi memang puas hati. V Shem-Wee Kiong senior kita, selalu buat latihan sekali, tiap-tiap hari. Pelan perlawanan pun semua tahu. Cuma siapa pamerkan aksi lebih baik, akan menang,” kata Aaron kepada media selepas perlawanan.

Beregu yang menduduki ranking kelapan dunia itu dijangka bertemu sama ada, beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo atau pun pemain dari pusingan kelayakan, Lin Chia Yu-Yang Ming-Tse dari Taiwan di pusingan kedua.

Aaron berharap mereka mampu mempamerkan aksi yang lebih baik dan memberi saingan lebih sengit kepada pihak lawan.


“Kita kena fokus sebab tidak senang untuk kalahkan beregu nombor satu dunia. Memang kita harapkan kemenangan tidak kira sama ada jumpa Marcus-Kevin atau Lin-Yang.

“Kalau pasangan Marcus-Kevin, kita pernah jumpa mereka tiga kali dan memang perlawanan sengit sehingga heret ke set penentuan. Namun kita harap boleh bagi perlawanan sengit untuk mereka,” kata Aaron.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui kemenangan pada pusingan pertama ke atas pemain senior sedikit sebanyak menaikkan keyakinan mereka untuk beraksi lebih baik pada kejohanan ini.

Katanya, jika terpaksa menentang pasangan Marcus-Kevin, beliau akan tetap lawan walaupun mengetahui perlawanan akan lebih sengit.

Turut melangkah ke pusingan kedua ialah pasangan yang baharu sahaja digugurkan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Kedua-dua mereka mempamerkan aksi cemerlang dengan mengejutkan pasangan ke-12 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, 21-15, 18-21, 21-15

Beregu ke-19 dunia itu dijadual bertemu sama ada beregu pilihan kelapan kejohanan, Han Cheng Kai-Zhou Hao Dong dari China atau beregu dari pusingan kelayakan, Jones Ralfy Jansen-Peter Kaesbauer dari Jerman. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button