Nasional

Masihkah kalian ingat terhadap kematian dan pembunuhan Adib?

ESOK 17 Disember 2019 genap setahun pemergian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Wira negara itu dipukul dengan teruk dan kejam oleh perusuh ketika sedang melaksanakan tugas di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Dia kemudian bergelut dengan nyawanya selama 21 hari sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam.

Sepanjang terlantar di atas katil di hospital Adib terpaksa  mendapat sistem sokongan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-parunya.

Dia juga terpaksa bergantung dengan beberapa mesin sokongan untuk memastikan organ dalamannya dapat dipulihkan pada tahap optima.

Menggambarkan betapa parahnya kecederaan yang dialami oleh Adib sehingga menyebabkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menitiskan air mata.

“Seluruh negara, tanpa mengira kaum dan pegangan agama, daripada rakyat biasa, pemimpin, termasuk istana, sama-sama berduka dengan nasib yang menimpa keluarga Muhammad Adib.

“Jenayah sekejam ini sama sekali tidak boleh dilindungi,” titah baginda pada 28 Disember 2018.

Kematian Adib pada mulanya diselubungi teka-teki. Pada 28 November 2018 Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa Muhammad Adib parah akibat kemalangan jalan raya.

Namun kemudiannya pada 22 Disember 2018 Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman memohon maaf kepada keluarga Adib kerana membuat kenyataan yang tidak benar berkaitan punca kecederaan yang dialami anggota bomba itu kepada media.

Malahan inkues bagi mencari punca kematian Adib juga mencetuskan kontroversi apabila pada hari ke-37 peguam keluarga Adib, Syazlin Mansor menarik diri atas arahan Pejabat Peguam Negara. Penarikan diri Syazlin menggemparkan negara.

Namun, keputusan Mahkamah Koroner pada 27 September lalu melegakan banyak pihak apabila memutuskan kematian anggota Adib berpunca daripada tindakan jenayah bukan seorang tetapi lebih daripada seorang.

Hakim Koroner Rofiah Mohammad menegaskan kematian Adib disebabkan kecederaan lung chest trauma kerana arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

Seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.

“Jangan lindungi sesiapa yang bersalah. Pastikan kematian anak saya terbela.

“Inkues ini benda baik dan ia mampu memberi keadilan kepada Adib, malah kami sememangnya mahukan keadilan untuk Adib”, Itulah kata bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid yang mahu kematian anaknya dibela.

Inkues telahpun dijalankan. Punca kematian Adib juga telah diketahui lebih lebih dua bulan lalu.

Namun kematian Adib yang masih muda, hanya berusia 24 tahun ketika nyawanya diragut oleh perusuh masih terus ditangsi keluarganya, bekas tunangnya dan rakyat Malaysia.

Mereka masih menunggu orang-orang yang bertanggungjawab membunuh Adib di bawa ke muka pengadilan. Mereka mahu pembunuh Adib dihukum sewajarnya.

Adakah kematian Adib akan mendapat pembelaan? Adakah pembunuh Adib yang masih bebas akan ditangkap dan dihukum? Masihkah kita ingat terhadap kematian dan pengorbanan Adib?

Terkini: Polis sedang mengesan sembilan saksi bagi membantu kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata individu berkenaan diminta tampil bagi membantu polis menyiasat kes berkenaan.

“Mereka bukan suspek, tetapi dipercayai berada di sekitar kawasan berkenaan ketika kejadian berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.-SM

 

 

 

 

 

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button