Nasional

Golongan miskin kena perbaiki diri, cari punca pendapatan lain – Dr Mahathir

GOLONGAN miskin perlu berusaha untuk memperbaiki kehidupan mereka termasuk mencari sumber pendapatan lain, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kalau hanya bergantung kepada satu punca mereka tidak akan dapat keluar daripada belenggu tersebut.

Pada masa sama katanya, kerajaa juga akan membentu dengan menentukan punca-punca lain yang dapat memberi pendapatan kepada mereka.

“Sebenarnya mereka yang miskin boleh diperkayakan, ditambah pendapatan mereka dengan cara mereka berusaha.

“Mereka mempunyai masa yang cukup untuk berusaha, kalau daripada satu punca mereka tidak dapat mengatasi masalah mereka, kita akan tentukan ada punca lain yang memberi pendapatan kepada mereka.

“Sesungguhnya, mereka yang miskin mempunyai masa yang panjang untuk melakukan lain-lain kerja.

“Pihak kerajaan akan mengenal pasti apa kerja-kerja lain, perniagaan lain perusahaan lain yang boleh diusahakan oleh pihak yang miskin,” kata Dr Mahathir ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra, Putrajaya pagi ini.

Dr Mahathir berkata, kemiskinan tidak boleh diatasi jika golongan itu hanya menunggu bantuan kewangan yang diberikan kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, kumpulan berkenaan perlu berusaha keras bagi menambah pendapatan mereka dan keluar daripada kadar kemiskinan.

Beliau juga mengingatkan, bahawa jurang kemiskinan dan perpecahan antara kaum akan terus menggagalkan usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju.

Jika keadaan itu berterusan katanya, ia boleh mencetuskan huru-hara antara pelbagai kaum di negara ini.

Jika keadaan itu berlaku, katanya, maka negara akan bertambah mundur.

“Sebab itu, Wawasan Kemakmuran Bersama ini menjadi satu dasar yang amat penting kerana tujuannya adalah untuk kita kurangkan jarak antara yang miskin dan yang kaya, antara satu kaum dengan kaum yang lain.

“Untuk ini, kerajaan akan berusaha, tetapi yang lebih utama adalah mereka yang miskin perlulah sambut cara-cara yang dijadualkan dan cadangan kerajaan untuk menolong pihak yang miskin,” katanya.

Perdana Menteri berkata, suatu masa dahulu Malaysia berada di hadapan berbanding beberapa negara-negara Asia lain.

Dengan mengambil contoh Korea Selatan dan Jepun, Dr Mahathir berkata kedua-dua negara tersebut kini lebih maju berbanding Malaysia selepas mengalami revolusi.

“Kita bernasib baik kerana di Malaysia ini tiada revolusi yang berlaku walaupun ada percubaan untuk menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat pada mulanya.

“Tetapi, selepas itu, kita dapati negara kita aman dan tidak ada lagi usaha menjatuhkan kerajaan secara ganas.

“Memang secara demokrasi kita boleh menukar kerajaan tetapi tidak berlaku keganasan untuk mendirikan kerajaan yang baharu,” katanya.

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button