RAKYAT boleh menyuarakan apa sahaja pendapat mereka terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan termasuk mencadangkan supaya menteri tertentu termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng digugurkan.
Tetapi, pada akhirnya kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau akan menentukan sama ada seorang menteri itu patut digugurkan atau sebaliknya.
Keputusan beliau itu bagaimanapun katanya, tertakluk kepada persetujuan lima parti komponen yang membentuk PH yang berjaya menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum Mei tahun lalu.
Perdana Menteri semalam memberi bayangan akan melakukan rombakan Kabinet November tahun depan berikut kekalahan besar Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai 16 November lalu.
Menurut Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab memenuhi desakan beberapa pihak supaya dilakukan rombakan Kabinet namun langkah tersebut perlu diperincikan kerana ia melibatkan pentabdiran negara.
Dalam reaksi kepada kenyataan Dr. Mahathir itu, Tuan Ibrahim menjangka menteri pertama yang akan digugurkan dalam rombakan Kabinet tahun depan adalah Guan Eng.Ini berdasarkan penolakan umum dalam tinjauan yang dibuat sebuah portal berita baru-baru ini.
“Kita mengalu-alukan rombakan kabinet dan lagi segera lagi baik.
“Siapa perlu dirombak? Menteri Kewangan. Hari ini orang buat survey pun dalam talian, sudah beribu yang mahu Menteri Kewangan ditukar,” kata Tuan Ibrahim.