fbpx
Nasional

Lelaki ‘kenduri kepala kambing’ mengaku bersalah

LELAKI yang merakam video ‘kenduri kepala kambing’ sambil mempersendakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam kejadian di Langgar, Mukim Telaga Mas, Pokok Sena, di sini, minggu lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini.

Tertuduh, Mohd Naim Md Isa, 49, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Bagaimanapun Bernama melaporkan, mahkamah menangguhkan prosiding menjatuhkan hukuman kepada 11 Mei ini bagi mendapatkan laporan penuh forensik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan fakta kes.

Justeru, mahkamah membenarkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan hukuman berkenaan.

BERITA BERKAITAN:


Mengikut pertuduhan, Mohd Naim didakwa dengan sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik iaitu ‘Kuarantin Kepala Bapak’ sebanyak dua kali dalam video berdurasi 57 saat dengan berniat mempertikai PKP yang berkuat kuasa 18 Mac lalu ekoran COVID-19.

Pautan itu telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Perbuatan itu yang popular dengan lelaki kenduri kepala kambing itu didakwa dilakukan melalui aplikasi WhatsApp menerusi telefon miliknya antara 12.30 tengah hari, 19 Mac lepas hingga 2 petang, 20 Mac lepas.

Sehubungan itu, Mohd Naim didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum menerusi Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad.

Video ‘lelaki kenduri kepala kambing’ berdurasi 57 saat itu memaparkan seorang lelaki mempersenda pelaksanaan PKP  sambil merakam suasana di sebuah rumah yang didatangi orang ramai sambil menikmati hidangan berasaskan kambing termasuk kepalanya.   – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button