Ekonomi

Lebih 1,000 Usahawan PKS Terjejas Terima Manfaat Menerusi Program SME Bank XCESS 2021

Lebih 1,000 usahawan PKS yang terjejas akibat penularan COVID-19 diberi peluang untuk memulihkan perniagaan dan meninjau potensi untuk meluaskan pasaran mereka melalui Program SME Bank XCESS 2021.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program SME Bank XCESS adalah ‘flagship program’ yang dianjurkan oleh SME Bank dalam memenuhi peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI).

“SME Bank bukan sahaja menyediakan pembiayaan tetapi turut melaksanakan pelbagai inisiatif yang melangkaui pembiayaan (beyond financing).

“Program SME Bank XCESS merupakan inisiatif utama SME Bank dalam menyokong usaha kerajaan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan pembangunan sektor PKS negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Program SME Bank XCESS 2021 julung kali yang diadakan secara maya ini merupakan platform padanan perniagaan peringkat kebangsaan terbesar anjuran SME Bank.


Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, SME Bank XCESS edisi 2021 ini berubah secara keseluruhannya daripada program yang pernah dianjurkan dahulu.

“Konsep ‘beyond financing’ kali ini diterjemahkan melalui empat teras utama iaitu padanan perniagaan (business matching), program pembangunan vendor, umbrella program dan ekuiti pembiayaan / ekuiti persendirian.

“Sebanyak 20 syarikat anchor turut terlibat dalam program ini sebagai rakan strategik kami. Untuk Padanan Perniagaan (Business Matching) mereka adalah pasar raya besar seperti AEON, Lulu Hypermarket dan Lesong Mart. Program Umbrella disertai oleh syarikat seperti Ramly Food Processing, KARA Holdings (Ayamas), Bateriku.com, Chatime, Prowheels dan Petro Teguh,” kata Aria dalam kenyataan yang sama.

Tambah Aria lagi, program pembangunan vendor pula melibatkan syarikat seperti Pharmaniaga, Tenaga Nasional, Sime Darby Property, Malaysia Airlines, Telekom Malaysia, Boustead Heavy Industries, Duopharma Biotech, Celcom Axiata, UMW Corporation dan UEM Edgenta.

“Manakala syarikat Ekuiti Pembiayaan / Ekuiti Persendirian seperti MTDC, PERNAS, MAVCAP, Malaysia Debt Venture, Kumpulan Modal Perdana, Cradle Fund, Aeon Credit Services, COPE Private Equity dan Northern Corridor Implementation Authority pula menawarkan alternatif kepada pembiayaan seperti geran dan pelaburan.

“Kami mensasarkan seramai 20 usahawan akan berjaya dipadankan dengan syarikat anchor melalui Program SME Bank XCESS 2021 ini dan kami percaya sekiranya sasaran ini dapat dicapai ia akan memberi impak yang besar kepada eko-sistem perniagaan syarikat-syarikat tersebut,” tambah Aria lagi.

SME Bank yakin objektif penganjuran SME Bank XCESS 2021 iaitu meluaskan pasaran, memberi akses pembiayaan dan menyampaikan maklumat terkini mengenai produk dan perkhidmatan untuk usahawan PKS akan dapat dicapai melihat kepada sambutan yang diberikan.

Meskipun dalam keadaan pandemik Covid-19 yang sedang melanda, SME Bank tetap bergerak aktif dalam menganjurkan sesi networking bersama pelanggan dan usahawan PKS secara dalam talian. Sejak Januari 2021, sebanyak 75 sesi networking yang melibatkan lebih 1,300 orang usahawan PKS dan aktiviti ini akan diteruskan.

(Visited 93 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button