Politik

KJ persoal UMNO jadi milik peribadi ketua-ketua bahagian

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempersoal apakah UMNO kini hanya milik ketua-ketua bahagian dan bukan lagi hak perwakilan serta akar umbi memilih ketua mereka.

Dalam hantaran ke Instagram Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut menyertakan grafik berkaitan 126 ketua UMNO bahagian yang menyokong jawatan presiden dan timbalan presiden untuk tidak dipertanding.

“Apakah UMNO ini milik Ketua-Ketua Bahagian ini sahaja? Apakah para perwakilan dan akar umbi tidak punya hak memilih ketua mereka?” soalnya dalam hantaran di Instagram Story.

Semalam, media melaporkan seramai 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan solidariti agar jawatan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO akan datang.

Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

Dalam pada itu selepas menyatakan akan tetap menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, walaupun UMNO bertukar kepimpinan, Khairy turut menggesa pertandingan jawatan tertinggi parti itu tidak ditutup.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.

Jelasnya, pertandingan jawatan tertinggi dalam parti itu perlu dipertandingkan memandangkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah seorang pejuang yang tidak gentar menghadapi pencabar.

“Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden seorang fighter yang tidak gentar menghadapi pencabar.

“Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam UMNO,” jelasnya dalam muat naik di Instagram Story pada Khamis.

Khairy memuat naik kenyataan itu bersama gambar grafik berkaitan 126 Ketua UMNO Bahagian menyokong jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Dalam hantaran sama, beliau turut menimbulkan beberapa persoalan berkenaan hak perwakilan untuk memilih ketua mereka.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button