Nasional

Kerajaan wajar bimbang terhadap sokongan kepada Belanjawan 2021

TINGGAL baki dua hari sahaja sebelum undian diberikan oleh Ahli Parlimen kepada Belanjawan 2021 jika dijadualkan berlangsung pada Khamis, 26 November ini.

Berdasarkan kedudukan sekarang, kerajaan wajar bimbang terhadap sokongan apabila jumlah yang benar-benar menyokong Belanjawan 2021 hanya sekitar 81 Ahli Parlimen sahaja.

Sementara baki 41 lagi iaitu daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional masih berteka-teki sama ada akan menyokong belanjawan tersebut ataupun tidak.

Malah jika hanya Menteri, Timbalan dan ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan dilantik yang menyokong Belanjawan 2021 pun masih belum cukup untuk meluluskannya.

Ini kerana hanya Ahli Parlimen sahaja yang boleh mengundi untuk meluluskan atau sebaliknya Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.


Sementara Senator yang bertaraf Menteri berada dalam Dewan Rakyat adalah atas lantikan Perdana Menteri, bukannya seorang Ahli Parlimen atau wakil rakyat.

“Kelulusan belanjawan hanya memerlukan undian majoriti bukannya dua pertiga.

“Tetapi, sekarang ini dua kerusi Parlimen kosong, jadi tinggal cuma 220. Oleh demikian, kerajaan memerlukan 111 undian untuk meluluskan Belanjawan 2021.

“Tambah pula Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd. Hamzah kata tidak mahu terlibat dalam perbahasan Belanjawan 2021.

“Kalau tidak sokong maka berkurang lagi seorang untuk menyokong meluluskan belanjawan.

“Tetapi, dengan jumlah kerusi yang ada dalam kerajaan sekarang, masih boleh lagi untuk meluluskan Belanjawan 2021.

“Senator tidak boleh mengundi, hanya Ahli Parlimen sahaja akan mengundi untuk meluluskan belanjawan.”

Demikian kata Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Putra, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Tambah beliau, jika belanjawan tidak diluluskan, perbelanjaan seperti pembayaran gaji kakitangan awam dan komitmen hutang kerajaan persekutuan perlu dilunaskan juga.

Cuma, terdapat implikasi kepada perbelanjaan lain yang perlu kelulusan Dewan Rakyat termasuklah untuk menangani wabak pandemik Koronavirus (Covid-19).

AHMED RAZMAN

Katanya, berbanding permintaan seperti pengeluaran simpanan daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium pinjaman, kedua-dua itu tidak menyentuh fiskal negara.

Namun, terdapat satu lagi kaedah yang boleh digunakan kerajaan menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 Tambahan jika peruntukan tidak cukup.

“Kita bukan macam Amerika Syarikat (AS). AS memang betul kalau belanjawan negara mereka tidak diluluskan, pemberian gaji kepada kakitangan awamnya dihentikan. Kita bukan macam itu.

“Kita akan tetap berjalan, namun untuk melakukan perbelanjaan itu cuma peruntukan yang baharu tidak dapat dilaksanakan.

“Namun, dari sudut perbahasan dan rasional untuk menolak ini adalah kerana mereka tidak mahu kerajaan membazir, membuat peruntukan yang tidak perlu seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) melibatkan RM85.5 juta dan juga mereka rasakan bantuan untuk rakyat tidak cukup.

“Maknanya kena ada lagi banyak bantuan khusus kepada mereka terjejas.

“Jadi, kedua-dua rasional ini boleh diterima, maknanya pembangkang kata kalau situasi sekarang ini peruntukan kena lebih berfokus, memberi impak dan tidak membazir,” jelasnya. – SM

(Visited 65 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button