Nasionalpilihan

Kepakaran jurutera tempatan tarik pelaburan langsung asing – Perdana Menteri

Profesion jurutera telah memberikan sumbangan signifikan kepada negara yang kini menikmati kemajuan besar bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi juga teknologi kejuruteraan.

Kepakaran jurutera-jurutera tempatan membolehkan sektor infrastruktur, pembuatan, telekomunikasi, petroleum dan jana kuasa dapat dibangunkan sehingga mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peranan yang dimainkan bukan hanya membantu memacu ekonomi negara tetapi juga meningkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia.

“Hal ini adalah untuk memastikan kualiti hidup Keluarga Malaysia setanding dengan negara-negara lain, dengan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bertindak sebagai pengawal selia profesion berkenan.

“Justeru, Malaysia sejak dua dekad lalu telah dikenali dunia dengan pembinaan struktur dan mercu tanda ikonik seperti Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, SMART Tunnel, Menara PNB118 dan sebagainya, memperlihatkan kecemerlangan para jurutera kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 LJM yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Kerajaan juga telah melancarkan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia pada tahun 2021 dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara supaya Malaysia terus kekal berdaya saing di peringkat global.

“Saya difahamkan LJM juga telah membentuk satu pasukan khas untuk merangka dan melaksana strategi meningkatkan keupayaan pendigitalan firma perunding kejuruteraan.

“Salah satu pencapaiannya termasuk memperkenalkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance atau CCC Online) secara dalam talian pada bulan November lalu. Syabas saya ucapkan!” ujar Perdana Menteri.

Sambutan Ulang Tahun ke-50 LJM dengan slogan ‘Komited Kepada Kecemerlangan Kejuruteraan’ memperlihatkan kematangan bukan hanya LJM tetapi juga bidang kejuruteraan tersebut.

Bidang kejuruteraan menuntut prinsip kecekapan, penelitian dan kebolehan menyelesaikan masalah yang kompleks, sekali gus menjadi asas utama kepada kejayaan pemimpinnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button