Kenangan pahit Sophia Liana diabadikan dalam Dulu
PENYANYI, Sophia Liana mengakui single terbaharunya yang berjudul Dulu merupakan kisah pahit dalam kehidupannya satu ketika dahulu.
Menurutnya, Dulu membawa mesej tentang pentingnya mencintai diri sendiri dan mengutamakan sahsiah diri dengan melepaskan masa lalu untuk terus bergerak maju ke hadapan.
“Bukan sahaja penyampaian yang berbeza, malah ia juga lebih bersifat peribadi dalam menceritakan tentang perasaan saya dulu dan sekarang. Lagu ini diinspirasikan dari situasi pahit yang pernah saya lalui suatu masa dahulu.
“Apa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini adalah untuk maju terus ke depan, berhenti menoleh ke belakang. To move on is to let go of the past,” jelasnya.
Ujar Sophia, untuk single terbaharunya itu dia berharap agar mesej yang cuba disampaikan dalam Dulu akan memberi impak kepada pendengar.
“Saya berharap lagu Dulu ini mendapat sambutan positif pendengar dan mesej yang cuba disampaikan dalam lagu ini boleh membantu seseorang itu memahami bahawa perjalanan hidup mereka waktu dulu itu sudah pun berlalu.
“Yang penting adalah hidup mereka hari ini dan hari-hari mendatang,” katanya.
Mengulas tentang lagu itu, Sophia berkata, menerusi single terbaharunya itu dia cuba menampilkan sesuatu yang berbeza dari apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Jelasnya, lagu tersebut dipersembahkan secara ‘sing rap ini’ cuba membawa pendengar memahami pengalaman masa lalu dan menerima apa yang terjadi dengan hati yang terbuka.
Lagu terbitan bersama Sophia Liana, Lion Music Group dan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer bermula 9 Oktober 2020. -SM