Politik

Menghadap Agong bukan isyarat Anwar tubuh kerajaan baharu

PERKENANNYA Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa depan di Istana Negara bukanlah satu petanda merealisasikan hasrat Anwar sebagai Perdana Menteri ke-9.

Ia juga sekali gus bukan satu isyarat bagi Anwar untuk menubuhkan kerajaan baharu dan menyingkirkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk memberi peluang kepada Anwar menyatakan hasrat dan hujahnya kepada Duli Tuanku Agong.

“Tidak juga. Perkenannya DYMM di-Pertuan Agong tidak semestinya dilihat sebagai satu signal bahawa ia merealisasikan impian Anwar tetapi ia satu gesture Tuanku Agong utk memberi peluang kepada Anwar untuk menyatakan hasrat dan hujahannya kepada Tuanku Agong.

“Jika benar Anwar mempunyai number (sokongan Ahli-ahli Parlimen) ini maka Tuanku Agong sekali akan memanggil mereka ini kehadapan untuk menghadap dan mengatakan sokongan.

“Oleh itu ia bukan satu lesen kepada cita-cita Anwar untuk menubuhkan kerajaan baharu dan menjadi Perdana Menteri dan belum tentu yang dipanggil itu menyokong beliau,” kata Zainul Fithri kepada SUARA MERDEKA berhubung pertemuan Anwar dengan Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober,  Selasa depan.

Zainul Fithri  juga berkata, apakah Muhyiddin akan berundur dengan mudah bagi memberi laluan kepada Anwar, jawapannya adalah tidak.

Katanya, ada dua pilihan dalam situasi tersebut: “Pertama, PM serah jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dan menerima bahawa dia (Muhyiddin) sudah tidak mendapat kepercayaan Ahli Dewan Rakyat untuk menerajui negara.

“Senario kedua pula, PM boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen namun perlu mengambi kira soal wabak Covid-19 juga.

“Pun saya merasakan tidak akan berlaku. Mungkin dibubarkan Parlimen tetapi kerajaan interim akan diwujudkan untuk mentadbir negara.

“Selagi ada Covid maka selagi itulah kerajaan interim akan mentadbir,” ujar beliau.

Zainul Fithri  menangkis apa yang dilakukan oleh Anwar (mengumumkan dapat sokongan menyakinkan untuk menubuhkan kerajaan baharu dan mendapat perkenan menghadap Yang di-Perutan Agong) adalah  satu coup atau penggulingan kuasa secara terhormat oleh Anwar.

“Tiada istilah penggulingan kuasa secara terhormat tetapi ia satu penggulingan yang dilakukan dan ia juga adalah satu penghinaan kepada Tuanku Agong dan juga penghinaan kepada kehendak rakyat,” kata Zainul Fithri.  – SM

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button