
Empat Tahun Berturut, Sunway University Pilihan Utama Majikan
Talentbank, peneraju utama dalam bidang kebolehpasaran siswazah, sekali lagi mengorak langkah dengan mengumumkan Senarai Universiti Pilihan Majikan 2025 yang menjadi rujukan penting buat lepasan sekolah dan ibu bapa memilih institusi terbaik untuk masa depan anak-anak.
Majlis pelancaran yang berlangsung di EQ Kuala Lumpur dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh hubungan antara universiti dan industri.

Berbeza dengan penarafan akademik tradisional, senarai ini disusun 100% berdasarkan data sebenar pengambilan graduan oleh syarikat-syarikat gergasi seperti PETRONAS, Maybank dan CelcomDigi, menjadikan ia antara penanda aras paling realistik untuk menilai kebolehpasaran graduan di Malaysia.
Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Kebangsaan Malaysia antara universiti awam yang mendominasi carta pilihan majikan.
Sementara itu, di kategori universiti swasta, Sunway University kekal di tangga teratas untuk empat tahun berturut-turut, diikuti Universiti Tunku Abdul Rahman, Heriot-Watt University Malaysia, Asia Pacific University, IMU University dan Universiti Teknologi Petronas.
Penarafan ini menggunakan Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan Talentbank (GE Index) yang menilai universiti berdasarkan tiga peringkat utama: universiti pilihan utama majikan, jumlah pengambilan graduan dan kadar pengambilan semula graduan oleh majikan.
Bersempena ulang tahun ke-15 Talentbank, satu lagi inisiatif baharu turut diperkenalkan iaitu Career Playbook — panduan strategik untuk pelajar dan graduan membina kerjaya, membangunkan kemahiran, dan menguasai proses permohonan kerja.
Menurut CEO Talentbank, Ben Ho, “Kami komited memastikan graduan Malaysia terus relevan dan menjadi pilihan utama majikan melalui pelbagai inisiatif dan kajian mendalam. Panduan seperti Senarai Universiti Pilihan Majikan dan Career Playbook ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi masa depan lebih cerah.”
Senarai penuh Universiti Pilihan Majikan 2025 boleh dilayari di www.talentbankgroup.com, manakala pendaftaran minat untuk Career Playbook di www.careerplaybook.io.