
Gabungan Puisi dan Lagu, Nash Bawa Sastera Menyentuh Jiwa
GABUNGAN puisi dan lagu mampu melahirkan karya sastera yang mempunyai makna lebih mendalam serta meninggalkan kesan jiwa yang luar biasa kepada pendengar.
Menurut penyanyi lagenda tanah air, Datuk Nashrudin Hj Elias atau Nash, keindahan dan keunikan bahasa puitis dalam puisi yang diadun bersama irama dan melodi lagu mampu mencipta magis tersendiri, berbeza daripada sekadar membaca puisi atau mendengar lagu semata-mata.

“Terdapat perbezaan antara bagaimana puisi dan lagu dihargai. Puisi dinilai melalui permainan kata, rima dan gaya bahasa, manakala lagu pula dinikmati dari segi muzik, susunan melodi dan penyampaian penyanyinya. Walaupun lirik lagu mungkin mudah, kekuatan lagu terletak pada gabungan muzik dan emosi penyampaiannya,” ujar Nash, bekas vokalis Lefthanded ketika berucap pada program PEMUISI di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sabtu lalu.
Nash yang terkenal menerusi lagu “Pada Syurga Di Wajahmu” turut menekankan bahawa puisi ialah medium seni yang punya tarikan dan peminat tersendiri, malah terus berkembang mengikut zaman.
“Memetik kata Wordsworth, puisi ialah ‘the best words in the best order’, manakala A. Teeuw melihat puisi sebagai satu fungsi bahasa yang unik. Dari pantun, gurindam, syair sehinggalah ke puisi moden, ia sentiasa menjadi wahana menyampaikan pemikiran, falsafah serta suara hati masyarakat,” katanya yang turut menghiburkan kira-kira 100 penonton dengan dua lagu puisi, “Ku di Halaman Rindu” dan “Zahir Tak Terucap”.
Sementara itu, Presiden PEMUISI, Datuk Radzuan Ibrahim menyifatkan kehadiran Nash sebagai tetamu khas memeriahkan lagi program Baca Puisi anjuran mereka.
“Kami mahu memasyarakatkan puisi, sebab itu tokoh dari pelbagai bidang diundang agar sastera – terutamanya puisi – dapat diperkenalkan kepada lebih ramai lapisan masyarakat. Kehadiran Datuk Nash diharap akan melonjakkan lagi genre lagu puisi, bahkan membuka peluang penganjuran program seperti Konsert Lagu Puisi atau seminar khusus pada masa akan datang,” katanya.
Program hasil kerjasama PEMUISI dan DBP itu menampilkan pelbagai pemuisi veteran dan baharu, termasuk YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Datuk Jasni Matlani; Datuk Chamil Wariya; Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar; Datuk Azman Mat Isa; serta pelajar-pelajar dari beberapa universiti tempatan.