
Rewang Eh Raya 2025 Gamatkan Summit USJ, 10,000 Pengunjung Meriahkan Acara
ACARA Rewang Eh Raya 2025 yang berlangsung di Summit USJ, Subang Jaya pada 26 April lalu telah berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung, sekaligus membuktikan warisan seni budaya Melayu dan Bugis masih dekat di hati masyarakat.
Bertemakan “Rumah Terbuka”, program ini bukan sekadar menghidupkan semula tradisi rewang dalam suasana Hari Raya, malah menjadi medan memperkenalkan kekayaan budaya Bugis Negeri Selangor kepada generasi muda. Seawal jam 9 pagi, suasana sudah gamat dengan gelak tawa kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna bertemakan “Warna-Warni Eh Raya”, diikuti bengkel santai tarian tradisional Zapin dan Ronggeng Selangor yang turut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung pelbagai usia.
Acara kemuncak diserikan dengan majlis perasmian yang penuh adat, dimulakan dengan simbolik pemotongan pulut kuning dan sorakan konfeti. Tetamu kehormat, YM Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin Tengku Bendahara Azman Al-Haj selaku penaung, hadir memeriahkan majlis bersama barisan tetamu dan hadirin. Menariknya, sebelum perasmian, para pengunjung turut dihidangkan klip video memperkenalkan gastronomi warisan Bugis, menambah warna kepada pengalaman budaya sepanjang hari.
Persembahan tradisional oleh kumpulan NIDA TARI turut mencuri tumpuan, mempersembahkan Tarian Serampang Bugis, Tarian Jawa “Piye Kepriye”, dan Tarian Ronggeng Selangor – antara hasil bengkel tarian yang dijalankan pada sebelah pagi. Setiap persembahan bukan sekadar hiburan, tetapi membawa mesej mendalam tentang nilai dan keindahan warisan yang harus dipertahankan.
Menurut Srikandi Etnik, Noraniza Idris, Konsert Eh Raya 2025 adalah wadah penting dalam mengembalikan semangat komuniti melalui seni budaya. “Program sebegini bukan hanya untuk menghiburkan masyarakat, tetapi menjadi platform membentuk sahsiah, akademik dan kokurikulum generasi akan datang,” ujarnya.
Sambutan luar biasa turut dapat dilihat apabila lebih 6,000 peserta mendaftar lebih awal secara atas talian, sekaligus membuktikan seni tradisional masih mendapat tempat istimewa dalam hati rakyat Malaysia.