Hiburan

Kalau ada masalah, cari saya, jangan libatkan anak isteri! – Syamsul Yusof

BELUM reda dengan kemelut rumah tangga dan isu saman pemilik akaun YouTube yang didakwa memfitnah Syamsul Yusof, timbul satu lagi kes berkaitan pelakon tersebut hingga memaksanya membuat laporan polis.

Tindakan Syamsul membuat laporan polis itu baru diputuskan semalam selepas dia menerima mesej berbaur ugutan melibatkan dirinya dan ahli keluarga yang lain.

“Sebagai seorang selebriti, menerima ugutan itu perkara biasa tetapi apa yang berlaku kali ini memang dah melampau.

“Mesej tersebut dihantar ke akaun Instagram saya dan saya sedar perkara itu kira-kira pukul 10.30 malam semalam.

“Antara isi mesej tersebut ialah ‘ aku akan hancurkan kerjaya kau, untuk bagi kau malu. Jangan fikir anak bini kau akan selamat. Isteri kau aku ikut hari-hari’.

“Saya tidak tahu apa agenda dia adakah saya bermusuh dengan sesiapa memang tak tahu. Saya ambil tindakan pun sebab ini sudah melampau,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, hari ini.

Menurut Syamsul, sebelum ini isterinya, Puteri Sarah Liyana pernah memberitahu yang dia pernah diekori sebuah kereta kira-kira dua bulan lalu.

Jelasnya, pemandu kereta itu cuba menahan isterinya tetapi Puteri Sarah berjaya melarikan diri dan sempat melihat seorang lelaki berbadan besar dan memakai gelang di dalam kenderaan itu.

“Kalau ada yang tak puas hati dengan saya, kita boleh bersemuka. Jangan libatkan anak-anak dan isteri. Perkara ini yang buat saya tak tahan.

“Sebelum ini pun isteri saya pernah minta untuk buat laporan polis tetapi saya kata tak mengapa. Kali ini memang saya kena ambil tindakan. Tak boleh bersabar lagi,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada individu terdekat atau pemilik YouTuber yang menjadi dalang ugutan tersebut, Syamsul enggan membuat tuduhan kepada sesiapa.

Menurutnya, dia sendiri tidak tahu sama ada orang terdekatnya yang menjadi dalang serta menolak pemilik YouTuber yang ingin disamannya kerana akaun yang memberi ugutan itu sudah lama diterimanya.

“Saya tak rasa YouTuber itu yang buat ugutan kerana saya dah perasan akaun tersebut hantar mesej ugutan sekitar awal tahun lalu lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Syamsul memberitahu yang dia tetap akan meneruskan saman terhadap akaun YouTube yang didakwa memfitnah dirinya.

Pengarah filem Munafik itu berkata, akaun YouTube itu telah pun dipadamkan tetapi tindakan undang-undang akan tetap diteruskan. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button