Politik

‘Kini bukanlah masa untuk menangisi kekalahan sesiapa’ – Anwar

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ketika ini bukanlah untuk meraikan kemenangan atau menangisi kekalahan sesiapa.

Kenyataan tersebut dikeluarkan, selepas Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini bagi mempersembahkan dokumen yang membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Anwar juga menegaskan tidak ada mana-mana pihak yang mencapai kemenangan atau kekalahan hari ini.

“Kini bukanlah masa untuk merayakan kemenangan sesiapa atau menangisi kekalahan sesiapa.Tidak ada kemenangan atau kekalahan kepada sesiapa pun hari ini.

“Kemenangan sebenarnya ialah apabila kita berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, makmur, adil dan harmoni untuk seluruh rakyatnya,” kata Anwar.

Anwar menambah, ketika ini bukan masanya untuk sebarang pihak menyebarkan maklumat dan berita palsu.

“Oleh itu, saya pohon agar kita semua mainkan peranan untuk hanya menyebar maklumat dan berita yang sahih. Marilah kita semua bekerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh membina semula negara tercinta ini,”  kata Anwar.

Dalam sidang medianya pukul 2 petang tadi, Anwar memberitahu, beliau telah menyerahkan akuan bersumpah dan dokumen sokongan ketua-ketua parti kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk mengambil alih kerajaan daripada pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Istana Negara bagaimanapun dalam kenyataan memaklumkan, Anwar hanya sekadar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Istana Negara, tanpa mengemukakan sebarang senarai nama mereka untuk mengukuhkan dakwaan itu.

Susulan tindakan itu, Al-Sultan Abdullah, menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataannya, berkata Presiden PKR itu mengemukakan jumlah Ahli Parlimen terbabit ketika diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira 25 minit, pagi tadi.

“Adalah dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Negara pada jam 11 pagi tadi.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Anwar mengemukakan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut, ” katanya menerusi satu kenyataan Istana Negara, hari ini.-SM

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button