
Iman Troy dan Perfume Paradise agih ayam di PPR Taman Wahyu
JENAMA minyak wangi terkemuka, Perfume Paradise, terus komited dalam usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengedarkan sebanyak 500 ekor ayam percuma kepada penduduk di PPR Taman Wahyu, Selayang. Program ini dijalankan dengan kerjasama artis naungan Xo House, iaitu Iman Troy, Dalia Farhana, Zubir Khan, dan Alyamardien, yang turut serta dalam acara yang berlangsung semalam.
Menurut CEO Perfume Paradise, Nur Faiqah Amran, inisiatif ini adalah kesinambungan daripada Konsert Galau sebelum ini, di mana Perfume Paradise merupakan salah satu penaja utama.
“Selepas konsert, kami mahu terus memberi kembali kepada masyarakat. Program ini bertujuan membantu mereka yang memerlukan serta meringankan beban penduduk setempat,” katanya.
Pemilihan lokasi PPR Taman Wahyu bukan sekadar kebetulan, tetapi juga membawa makna tersendiri. Penyanyi Iman Troy, yang pernah membesar di kawasan ini, menyatakan rasa terharu dapat kembali memberi sumbangan kepada komuniti yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
“Dari kecil saya membesar di sini dan ia mengimbau banyak kenangan. Malah, dalam barisan penerima ayam tadi, ada beberapa orang yang pernah menjadi ibu angkat saya,” kata Iman Troy.
Sebelum ini, Perfume Paradise telah menjalankan program CSR serupa di PPR Setapak, dan kali ini mereka menggandakan jumlah sumbangan. Sambutan luar biasa daripada penduduk jelas menunjukkan betapa besar keperluan bantuan seperti ini, apabila orang ramai sudah beratur sebelum persiapan program selesai.
Perfume Paradise berharap untuk meneruskan lebih banyak inisiatif kebajikan seperti ini pada masa akan datang, sekaligus memberikan impak positif kepada masyarakat.