Hiburan

PM Anwar Ibrahim Seru Penyampai Radio Era FM Jadi Ejen Perpaduan

TIGA penyampai radio Era FM menerima nasihat supaya memainkan peranan sebagai ejen perpaduan dalam setiap penyampaian mereka. Nasihat itu diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan insiden yang berlaku sebelum ini.

Menurut laporan Astro Awani, Nabil Ahmad yang mewakili rakan-rakannya meluahkan rasa syukur atas perhatian dan harapan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam pertemuan mereka di Majlis Berbuka Perdana Menteri bersama Media di Kuala Lumpur.

Mereka turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi menjemput mereka serta majikan mereka untuk berbuka puasa bersama.

“Kami berterima kasih kepada Datuk Seri Perdana Menteri kerana menjemput kami bertiga dan juga bos kami, Priya Dharshini Prabakaran, untuk berbuka puasa bersama-sama,” kata Nabil.

Beliau turut berkongsi bahawa Perdana Menteri menasihatkan mereka supaya menyampaikan mesej perpaduan dalam setiap percakapan dan tindakan mereka.

“Beliau menekankan kepentingan menyebarkan mesej perpaduan, mengingatkan bahawa kita hidup dalam sebuah negara majmuk yang harmoni. Oleh itu, dalam setiap percakapan dan perbuatan, kita perlu memperbanyakkan mesej perpaduan,” tambahnya.

Sebagai respon kepada nasihat tersebut, Nabil, Radin, dan Pak Azad bertekad untuk merealisasikan harapan itu dalam penyampaian mereka.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang tiba di Angkasapuri Kuala Lumpur sempat beramah mesra dengan ketiga-tiga penyampai radio tersebut, memberikan sokongan dan dorongan kepada mereka.

Majlis berbuka puasa itu berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran lebih 500 pengamal media dari pelbagai agensi dalam dan luar negara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button