
Lagu Ciptaan Hael Husaini, ‘Anta Permana’ Jadi Pilihan Raja Charles III
LAGU ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, Anta Permana, yang dinyanyikan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, terpilih dalam senarai lagu peribadi Raja Britain, Raja Charles III.
Lagu yang dilancarkan pada 2018 itu menjadi sebahagian daripada program The King’s Music Room di Apple Music, yang menghimpunkan karya muzik dari negara-negara Komanwel sebagai simbol meraikan kepelbagaian muzik dunia.
Lebih membanggakan, Siti Nurhaliza disenaraikan bersama nama-nama besar industri muzik antarabangsa seperti Beyoncé, Bob Marley, Kylie Minogue, dan Grace Jones. Penghormatan ini sekaligus mengangkat keunikan muzik Nusantara ke peringkat global.
“Sepanjang hidup, muzik memberi makna besar buat saya. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi mampu mengembalikan kenangan, memberi ketenangan, dan menyatukan kita dalam kegembiraan,” titah Raja Charles III dalam siaran khas tersebut.
Senarai lagu pilihan Raja Charles III juga mencerminkan selera muzik baginda yang luas, meliputi pelbagai era dan genre, termasuk afrobeats, reggae, dan pop kontemporari. Rakaman The King’s Music Room yang berlangsung di Istana Buckingham turut memperlihatkan bagaimana muzik membentuk pengalaman serta memori peribadi baginda.
Pengiktirafan ini bukan sahaja satu penghormatan buat Hael Husaini, Ezra Kong, dan Siti Nurhaliza, malah turut membanggakan peminat muzik tanah air yang teruja melihat karya Melayu mendapat tempat dalam pemilihan peribadi Raja Britain.