Nasional

Kabel dasar laut ketiga Langkawi beroperasi bulan ini

Penyaluran tenaga elektrik dari Grid Nasional ke Pulau Langkawi akan diperkukuhkan lagi apabila kabel dasar laut sepanjang 26.5 kilometer (km) mula beroperasi bulan ini, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Dalam satu kenyataan, TNB berkata projek merentang kabel yang menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuala Perlis dengan PMU Teluk Apau di pulau peranginan itu bermula Julai 2018 dan kini sudah 98 peratus siap.

Kabel dasar laut itu adalah kabel voltan tinggi ketiga yang dibangunkan TNB dengan perbelanjaan modal RM161 juta,  bagi menghubungkan pulau peranginan itu dengan Grid Nasional.

Presiden yang juga ketua pegawai eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah berkata dengan siapnya projek ini, pengguna di Langkawi akan mendapat manfaat daripada kestabilan dan kecekapan bekalan tenaga yang dipertingkatkan.

“Projek ini juga mampu menjadi pemangkin kepada usaha meluaskan capaian internet jalur lebar di Langkawi menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk merancakkan lagi sektor ekonomi pelancongan di pulau itu, kate beliau.

Amir menambah projek merentang kabel dasar laut 132 kilovolt (kV) ini adalah sebahagian daripada perbelanjaan modal TNB untuk mengukuhkan infrastruktur elektrik negara.

Sementara itu, ketua pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin berkata sistem elektrik di pulau peranginan itu kini dikawal sepenuhnya secara automasi dan apabila kabel dasar laut ini beroperasi kelak, ia akan meningkatkan kapasiti penerimaan tenaga yang lebih berdaya harap.

Awal tahun lalu, sistem bekalan elektrik di Pulau Langkawi mula dikawal secara automasi sepenuhnya melalui Kawalan Penyeliaan dan Permolehan Data Berkomputer (SCADA) yang menghubungkan semua 409 pencawang di pulau peranginan itu, lapor Bernama.

Automasi ini membantu mempercepatkan masa pemulihan bekalan elektrik sekiranya berlaku kerosakan sistem, jelas beliau.

“Kabel dasar laut yang sedang direntang itu menggunakan teknologi terkini yang pertama kali digunakan di Malaysia, iaitu “cross-linked polyethylene” berbanding “oil-filled cable” yang digunakan sebelum ini,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button