Nasional

TNB bantu perluas kemudahan jalur lebar

TENAGA Nasional Berhad (TNB) akan memperluaskan projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) ke seluruh negara agar lebih ramai pengguna mendapat manfaat daripada perkhidmatan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata setakat ini lima negeri iaitu Melaka, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Johor akan menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi tersebut menjelang suku pertama tahun depan.

“Ini adalah projek rintis oleh TNB dan saya difahamkan mereka bersedia untuk mengembangkan kedudukan gentian optik di seluruh negara di bawah NFCP ke negeri-negeri lain yang strategik di semenanjung negara.

“Saya melihat projek ini sebagai pelengkap antara TNB dan syarikat telekomunikasi agar kemudahan ini memberi manfaat kepada rakyat,” lapor Bernama katanya kepada pemberita selepas melawat projek rintis NFCP, di Jasin, semalam.

Beliau berkata sehingga kini projek rintis NFCP di Melaka merangkumi 1,100 kediaman di tiga kawasan iaitu di Felda Kemendor, Taman Merbau Perdana serta Taman Maju dan kesemuanya terletak di daerah Jasin.

Sementara itu, unit milik penuh TNB iaitu Allo Technology Sdn Bhd, dalam kenyataan, memaklumkan rangkaian perkhidmatan akses terbuka bagi projek NFCP sedang diperluas secara berperingkat ke kawasan bandar dan luar bandar di Melaka khususnya di lokasi yang kurang liputan infrastruktur fiber optik seperti Alor Gajah, Malim Jaya dan lanjutan di kawasan tambahan melibatkan 15,000 kediaman di Jasin.

Untuk rekod, setakat ini terdapat empat pembekal runcit internet iaitu Digi, Astro, Maxis dan City Broadband menawarkan pakej perkhidmatan gabungan jalur lebar dan menerusi penawaran itu, kediaman di kawasan terlibat dengan projek NFCP, akan menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dari 30 Mbps hingga 1 Gbps.

Pelaksanaan NFCP, yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar, menyasarkan pencapaian garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps. – SM

(Visited 306 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button