Nasional

Kerajaan, TNB dan ST – kapitalis tegar

BELUM reda kemarahan orang ramai bil elektrik yang meroket sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19, TNB hari ini mengumum pembayaran dividen tertinggi di dalam sejarah syarikat utiliti negara itu.

Ia satu kebanggaan bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM5.69 bilion.

Bagi menghalalkan atau justifikasi kepada amalan kapitalis itu TNB juga mengumumkan bahawa setakat Mei 2020, pemegang saham majoriti TNB terdiri daripada Khazanah Nasional Bhd. yang memiliki ekuiti 25.8 peratus, Permodalan Nasional Bhd (PNB) 18.1 peratus, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) 16.7 peratus, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) 6.7 peratus dan agensi-agensi kerajaan lain seperti Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera memiliki 1.2 peratus kepentingan.

Bermakna akhirnya wang keuntungan itu akan dibayarkan balik kepada negara dan rakyat juga mendapat manfaatnya.

Tidak cukup itu, TNB juga mengumumkan telah memeterai perjanjian pembelian tenaga fotovolta Solar Skala Besar (LSS) dengan dua syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh pembida berjaya di dalam proses persaingan bida bagi projek Fasa 3 LSS.

Dalam laporannya kepada Bursa Malaysia, TNB berkata, ia telah memeterai satu perjanjian dengan Coara Solar Sdn Bhd dan firma berpangkalan di Jerman, ib vogt GmbH untuk mengendalikan satu projek di Marang, Terengganu.

Perjanjian kedua pula ialah dengan TTL Energy Sdn Bhd dan firma berpangkalan di Perancis, ENGIE Energie Services SA untuk projek di Kerian, Perak.

Persoalannya mengapa hanya sebuah syarikat tempatan yang berjaya dalam bidaan tersebut?

Lebih menyedihkan perjanjian dengan syarikat asing itu untuk tempoh 21 tahun.

Inilah amalan kapitalis yang hanya mementing keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada syarikat-syarikat tempatan yang baharu bertatih di dalam industri terbabit tetapi akhirnya terpaksa gulung tikar akibat sikap tidak cakna kerajaan sendiri.

Alasan yang diberikan oleh TNB sudah pasti kerana syarikat asing menawarkan harga paling rendah berbanding syarikat tempatan dan fahaman kapitalis yang tegar ini membuatkan pengurusan Suruhanjaya Tenaga, TNB dan kerajaan sendiri buta mata hati terhadap nasib anak tempatan yang terpaksa melukut di tepi gantang dan meminta sedekah di negara sendiri.

Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) menawarkan kuota ladang solar sebanyak 500MW untuk dibida. Had bidaan setiap syarikat adalah 100MW. Sebanyak 107 syarikat telah masuk membida. Tetapi yang berjaya dalam bidaan ini hanya lima syarikat sahaja iaitu empat syarikat luar dan sebuah syarikat tempatan.

Semua pemaju solar tempatan yang besar termasuK TNB, PETRONAS dan lain lain pemain tidak berjaya menandingi paras harga terendah syarikat asing.

Ini adalah persaingan yang berat sebelah kerana syarikat luar seperti ENGIE (Perancis), HANWA(Korea) , IB Voght (German) dan SOLAPAC (Sepanyol) mempunyai kelebihan membeli solar panel secara pukal yang mendapat harga 40 peratus lebih murah daripada pemain tempatan.

Selain itu, mereka juga mendapat pinjaman kadar faedah yang lebih rendah daripada pusat kewangan antarabangsa di Eropah iaitu hanya 1 peratus. Manakala, pemain tempatan dikenakan kadar faedah sehingga 8 peratus bagi pinjaman bank tempatan.

Dalam melaksanakan bidaan tersebut, harga simpanan yang disebut oleh Suruhanjaya Tenaga adalah sebanyak RM0.34/kWh. Tetapi ST tidak tegas dengan kajian awal harga mereka, sehingga terikut ikut dengan permainan pemain industri dari luar.

Difahamkan, pemain luar pula mempunyai harga adalah serendah RM0.17/kWh.

Pada pandangan pemain tempatan, harga ini terlalu rendah dan tidak mungkin mereka akan membina ladang solar yang berkualiti.

Terdapat banyak perbezaan di antara kos pembinaan ladang solar di Malaysia dan di luar negara.

Di Malaysia, seseorang pemaju perlu mematuhi syarat-syarat Kebenaran Merancang yang dikawal oleh pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, pentadbir tanah juga mempunyai syarat-syarat yang ketat dan kos tidak ketara yang tinggi.

Pelabur luar tidak akan peduli syarat-syarat tempatan, asalkan dapat menjana tenaga, mereka akan jual projek ini kepada pihak ketiga dalam masa terdekat.

Ini merugikan pemain industri solar tempatan, kerajaan dan juga peluang pekerjaan yang akan hilang selepas mereka menjual pegangan kepada pihak ketiga.

Apabila harga simpanan ST telah diserang oleh pemain antarabangsa, ST sepatutnya menggunakan kaedah “cut off” iaitu penggunaan harga median atau mean value dalam menentukan harga patut bagi tender ini.

Teknik penentuan harga tender secara cut off ini telah digunakan secara meluas oleh JKR dan agensi kerajaan yang lain.

Hasilnya ia akan memuaskan hati semua pihak serta memberikan keputusan menang menang kepada semua pemegang taruh.

Bila CEO TNB seorang akauntan, dia hanya fikirkan keuntungan dan laba kepada pemegang saham saja. Rakyat menanggung derita akibat kerakusan mereka mengaut keuntungan menyebabkan bil elektrik golongan marhain melambung tinggi.

Situasi ini amat menyedihkan ibarat, monyet dirimba disusukan, anak sendiri kebuluran. – SM

 

 

(Visited 772 times, 3 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button