Jemaah tidak dibenarkan bawa pulang air zam-zam
KEBIASAANNYA, umat Islam yang berpeluang ke tanah haram Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah atau haji pasti akan membawa balik air zam-zam sebagai cenderamata untuk saudara-mara.
Namun, sejak beberapa tahun lalu kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan jemaah haji atau umrah membawa balik air zam-zam dalam jumlah yang banyak.
Setiap jemaah hanya dibenarkan bawa balik lima liter air zam-zam secara percuma.
Namun, lain pula yang terjadi melalui perkongsian sebuah video di Tiktok oleh pengguna yang bernama Masjid Besi.
Menurut video tersebut, jemaah tidak lagi dibenarkan membawa pulang air zam-zam terutamanya jemaah yang terbang menerusi lapangan terbang baharu di Jeddah.
“Kepada para mutawif, nak bagitahu untuk lapangan terbang baharu, air zam-zam tidak dibenarkan bawa balik.
“Maksudnya, jemaah tak dibenarkan bawa balik walaupun lima liter. Jadi bagitahu jemaah untuk minum puas-puas di sini sebab memang ia adalah barang larang.
Turut difahamkan di lapangan terbang tersebut juga tiada penjualan air zam zam dan mungkin ini merupakan peraturan baharu daripada kerajaan Arab Saudi.
Menerusi ruangan komen, ramai yang berasa kecewa dengan larangan tersebut dan terdapat juga yang membuat andaian bahawa larangan tersebut dilakukan kerana terdapat sebilangan jemaah yang menjual air zam-zam yang dibawa balik kepada masyarakat tempatan. -SM