Politik

Istilah ‘kerajaan sepenggal’ menakutkan Kit Siang

Analisis

HARI ini ketika merasmikan Konvensyen DAP Perak di Ipoh, penasihat parti itu, Lim Kit Siang sekali lagi membangkitkan kebimbangannya kemungkinan Pakatan Harapan akan menjadi kerajaan sepenggal.

Kenyataan terbaharu susulan PH kalah teruk dengan perbezaan 15,000 undi di Tanjung Piai 16 November lalu itu diperingatkan Kit Siang betapa perlunya PH bekerja keras dan berusaha menunaikan segala yang pernah dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum lalu.

Pada 29 Ogos lepas, pencatur strategis DAP itu mendakwa jika pilihan raya umum ke-15 diadakan sekarang, beliau sendiri akan kalah dan DAP akan kehilangan 30 hingga 40 peratus undi di seluruh negara.

Agak mengecewakan istilah `kerajaan sepenggal’ kian serius diperkatakan hanya setelah pilihan raya kecil kali kesembilan berlaku dalam tempoh setahun enam bulan sejak PH berkuasa 9 Mei 2018.

Ini pastinya suatu kerugian besar buat PH yang seolah-olah tidak menghargai bahawa `bulan tidak selalunya jatuh ke riba’, biarpun ada andaian dan persepsi dalam kalangan rakyat hari ini mereka sudah terpedaya memilih PH yang gagal mengotakan janji-janji dalam manifesto pilihan rayanya.

PH dikatakan `tinggal harapan’ disebabkan prestasi menteri-menterinya tidak seberapa.

 

POLITIK WAJAH

Sebilangan orang mungkin teruja dengan menteri tertentu kerana `politik wajah’. Walhal, akibatnya mereka menerima `politik wajah berduri’. Hanya semata-mata popular kerana apa yang dimuatnaik dalam Instagram, WhatsApp atau Facebook, itu populariti sekejap.

Sedangkan kecenderungan rakyat hari ini pastinya terarah kepada prestasi. Kekacakan adalah `politik wajah’ sementara, yang akhirnya `perut’ (sara hidup) jugalah realiti pilihan rakyat.

Seiring kebimbangan dibangkitkan Kit Siang itu, adakah juga kemungkinan nasib Parti Bersatu yang diterajui Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menyamai Berjasa atau lebih teruk dari parti Melayu Semangat 46 (S46)?

 

NASIB BERSATU

Dikatakan sehingga beberapa bulan ini, Bersatu tidak ada grassroot (peringkat akar umbi) semantap UMNO dan Barisan Nasional. Akar umbi Bersatu di Putrajaya ada tak? Atau sekadar berfungsi atas nama organisasi?

Juga, adakah Bersatu cuma didukung oleh beberapa pemimpin yang keluar dari UMNO, tetapi bukannya ditampung oleh ahli-ahli parti itu.

Macam PKR, kenapa usianya agak lama? Ini kerana didukung atas simbol nama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apatah lagi wujud jurang besar usia era Tun Dr. Mahathir Mohamad, 93, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, 71, selaku pengerusi dan presiden dengan Datuk Seri Mukhriz, 54, (timbalan presiden) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 26 (Ketua Armada).

Ke mana haluan Bersatu selepas Dr. Mahathir dan Muhyiddin?

Sudah terang lagi bersuluh, istilah `kerajaan sepenggal’ begitu menakutkan DAP.

– SUARA MERDEKA

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button