Hari tentera Darat ke-87 disambut meriah
Sambutan Hari Tentera Darat ke-87 Tahun peringkat Markas Briged Ke 30 Infantri disambut meriah pada selasa petang.
Tambah istimewa ialah keberangkatan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpengkalan di Kem Bukit Keteri Perlis bagi menyertai program kayuhan berbasikal amal ‘Tentera Darat Bersama Rakyat, Sedia Sebilang Masa’ yang bermula di Padang Kawad Markas 30 Briged dan berakhir di Surau Al-Kawkaba kem berkenaan di Bukit Cowder, Mata Ayer, Padang Besar.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Panglima, Brigedier Jeneral Hassan Embong serta para pegawai kanan beliau.
Turut hadir ialah Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan Perlis.
Program dimulakan dengan persembahan ‘War Dance’ disusuli ‘Zumba Stretching’ sebelum bermulanya kayuhan melibatkan 87 peserta pada asalnya untuk jarak sejauh 8.7km sebagai simbolik ulang tahun ke 87 kewujudannya.
Seusai kayuhan yang disekalikan dengan program rutin baginda iaitu ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke 13 pada tahun ini, para peserta solat maghrib secara berjemaah dan diikuti dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor. Ia diikuti dengan jamuan santapan malam, tayangan video serta pemotongan kek Hari Tentera Darat ke 87.