Sukan

Mohd Azizulhasni layak acara pecut Olimpik Tokyo 2020

Pelumba berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, melayakkan diri dalam satu lagi acara lumba basikal di Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai ini, selepas memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Menurut ranking dunia terkini UCI itu yang dikeluarkan laman sesawang mereka www.uci.org, Azizul meningkat lima tempat ke kedudukan kelima terbaik dunia, dalam acara pecut individu selepas mengumpulkan 2,415 mata.

‘The Poket Rocketman’ berusia 32 tahun itu, sebelum ini telah layak ke Tokyo melalui acara kegemarannya ‘keirin’ selepas menduduki ranking kedua dunia, di belakang juara dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda, apabila berjaya mengumpulkan 2,710 mata.

Ini akan menjadi penampilan Mohd Azizulhasni kali keempat di Sukan Olimpik, selepas layak pada Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, di mana beliau memenangi pingat gangsa dalam acara keirin.

Bagaimanapun seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom gagal untuk melayakkan diri ke Tokyo, selepas menduduki ranking ke-15 dalam acara pecut dan ke-40 bagi acara keirin selepas mengumpul masing-masing 1,687.5 mata dan 1,102 mata.

Related Articles

Kejohanan Lumba Basikal Trek UCI 2020 di Berlin, German, merupakan kejohanan kelayakan Olimpik terakhir.

Berdasarkan kepada format UCI, tujuh pelumba terbaik acara keirin dan pecut dalam ranking dunia UCI akan layak ke Sukan Olimpik.

Sehingga kini 10 atlet Malaysia telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mereka adalah Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik), Khairulnizam Mohd Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470), dan Khairul Anuar Mohamad (memanah).

Empat lagi merupakan atlet terjun iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal), Pandelela Rinong Pamg (10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m seirama.

— BERNAMA

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button