Travel

Feri tarikan baharu ke Kuala Besut

BESUT, 28 Nov  — Sekiranya Melaka terkenal dengan River Cruise yang membawa pelancong menikmati keindahan Sungai Melaka, Kuala Besut di Terengganu juga tidak kurang menariknya apabila terdapat feri yang membawa orang ramai menelusuri Sungai Besut.

Pengendali feri, Ismail Abdul Rahman, 58, berkata perkhidmatan feri yang bermula sejak Ogos lepas itu kini menjadi sumber tarikan baharu ke Kuala Besut dan mampu memberi keseronokan kepada penumpang ketika menelurusi Sungai Besut.

“Idea untuk memperkenalkan perkhidmatan feri di sini dimulakan Pak Deris (Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh) dan dilaksanakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

“Ia dibuat dengan kerjasama penduduk tempatan,” katanya semasa menelusuri Sungai Besut bersama kumpulan 28 pengamal media termasuk penulis blog dan blog video yang menyertai program FAM TRIP: Terengganu Homestay Food & Culture Festival dan Festival Setiu Wetland 2019.

Ismail berkata feri kecil itu boleh membawa 12 penumpang dewasa dan tiga kanak-kanak akan membawa penumpang mengelilingi dan menikmati keindahan flora di Pulau Besar dan Kampung Raja sejauh lebih dua kilometer dan mengambil masa kira-kira 80 minit bagi sesuatu perjalanan.

Beliau berkata antara kelebihan perkhidmatan feri itu ialah penumpang boleh melihat pemandangan sambil menikmati sarapan pagi atau beramah mesra bersama rakan dan keluarga dalam suasana yang santai.

“Kita menyediakan sebuah meja dan kerusi panjang cukup selesa untuk 12 penumpang. Mereka juga boleh meminta tahap kelajuan feri mengikut keselesaan dan sekiranya mahukan masa lebih panjang, kita boleh buat dua pusingan.

“Kita juga sedang mempertimbang penggunaan feri untuk tujuan barbeku atau sambutan hari lahir serta berehat sambil memancing,” katanya dan menambah seorang penumpang dikenakan bayaran RM15 atau RM150 bagi yang ingin menyewa sebuah feri.

Ismail berkata kini terdapat tiga feri dan sebuah lagi sedang dalam proses pembuatan dan pendapatannya membawa feri sekarang lebih baik berbanding bekerja sebagai nelayan dahulu.

Sementara itu, seorang peserta rombongan Sulaiman Hussin, 53, berkata walaupun waktu perjalanan singkat, ia cukup untuk menikmati keindahan Sungai Besut sambil meminum air kelapa dan merasai kesedapan otak-otak dan sata yang baru pertama kali dirasainya.

— BERNAMA

(Visited 411 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button