Politik

Eddin tawar diri bertanding anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu

ANGGOTA Parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith menawarkan diri bertanding sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan peringkat pusat parti itu Jun depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata penawaran diri beliau itu adalah bagi memperkasakan parti.

“Saya berminat untuk menawarkan diri (bertanding) sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada pemilihan peringkat pusat Jun depan …insya Allah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada 50 orang masyarakat Cina yang kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Kuala Pilah di sini, hari ini. Majlis itu anjuran Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih).

Eddin Syazlee yang juga timbalan pengerusi perhubungan Bersatu Negeri Sembilan juga mengesahkan akan mempertahankan jawatan ketua Bersatu Bahagian Kuala Pilah pada pemilihan akan datang.

Pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur malam tadi, Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Bersatu akan mengadakan Perhimpunan Agung parti pada 25 hingga 28 Jun depan.

Katanya di peringkat cawangan, persidangan dan pemilihan akan diadakan bermula 15 Feb dan akan berakhir pada 29 Mac, manakala di peringkat bahagian pula pada 18 April. – BERNAMA

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button