Nasional

Dr. Mahathir pun tersasul, tabik jiwa besar Dr. Adham Baba

TABIK buat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang memberi jawapan cukup padu kepada pengikut instagramnya mengenai isu tersalah cakap “500 negara” yang sepatutnya dirujuknya sebagai 500 wakil negara.

Tanpa penjelasan yang berbaur sinikal tetapi terbuka, berterus-terang serta mahukan netizen menjadikan Malaysia ke arah yang lebih baik, Dr. Adham membuktikan beliau seorang yang berjiwa besar.

Isu pemimpin tersasul atau tersalah cakap perkara biasa. Tetapi bukan isu pemimpin yang mengambil pendirian atau ke arah memuktamadkan sesuatu perkara atau dasar kementerian seperti mana sering terjadi di era kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bercakap pasal insiden tersalah cakap, sebelum ini pun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah beberapa kali tersasul. Antaranya menyebut UMNO dalam majlis anjuran Bersatu mahupun PH.

Pada 26 Oktober 2018, pemimpin berusia 94 tahun itu sekali lagi tersasul di hadapan media ketika mengumumkan tarikh Persidangan Tahunan Kedua Bersatu yang bakal berlangsung hujung tahun berkenaan.

“Yang pertama saya nak umumkan adalah kita menetapkan persidangan UMNO tahunan kedua…” katanya sebelum diperbetulkan pemimpin parti.

“Bersatu, Bersatu,” kata beberapa pemimpin parti yang berada berhampirannya.

Pemimpin dan media yang berada di situ turut ketawa melihat keletah Ahli Parlimen Langkawi itu yang sekali lagi tersasul menyebut UMNO.

Beliau kemudian hanya ketawa kecil dan ‘reaksi comel’ itu mencuit hati media dan pemimpin parti yang sekali lagi tertawa melihat tingkah lakunya.

Pada 3 Mei 2018, Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam ceramah PKR berkempen untuk PRU-14 di Felda Lasah di Sungai Siput tersasul menyuruh penyokongnya tidak mengundi pakatan pembangkang ketika itu (PH).

Ketika itu, beliau berucap sambil berdiri dengan pandangannya terarah kepada bilik gerakan pusat daerah mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di sisi kiri, selain penyokong PKR di hadapannya.

Memperbetulkan semula kenyataan, pemimpin pembangkang itu kemudian berkata, kepenatan berkempen menyebabkan dia mudah tersasul.

Dan lama dulu, seingat SUARA MERDEKA sekitar Oktober 2015, Pengerusi Gerakan Harapan Baharu (GHB) ketika itu, Mohamad Sabu tersasul ketika berucap di hadapan peserta perhimpunan berhampiran Dataran Merdeka.

Bekas Timbalan Presiden PAS itu ‘terlupa’ beliau bukan lagi tokoh pemimpin yang mewakili parti PAS.

“Saya mewakili rakan-rakan dalam PAS…eh tersasul.. rakan-rakan dalam Harapan Baharu, mengajak semua menaruh harapan untuk mengubah Malaysia,” kata Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu.

Jadi, rilekslah ya Dr. Adham. Anggap isu tersasul itu rencah kehidupan orang politik.

Tetapi jangan pandang remeh sebab sekarang zaman troll – boleh runtuh kerajaan kalau kita ambil ringan. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button