Politik

Darurat: Kerajaan mungkin guna ‘perbelanjaan kecemasan’ untuk tahun hadapan

ENGGAN menerima halangan bagi mendapatkan kelulusan Belanjawan 2021 daripada Parlimen menyebabkan Perintah Darurat dilihat sebagai pilihan dan peluang.

Oleh demikian, jika tiada Belanjawan 2021 atau Rang Undang-Undang Perbekalan untuk tahun hadapan dibentangkan maka kerajaan dijangka menggunakan ‘perbelanjaan kecemasan’ sebagai pilihan.

Ini bermakna, kesempatan dalam Perintah Darurat diambil untuk kerajaan membuat perbelanjaan tanpa perlu dibahas dalam Dewan Rakyat.

Hal demikian boleh terjadi apabila Perintah Darurat dilaksanakan dan ‘Prorogue Parliament‘ atau penggantungan Parlimen dilakukan.

Justeru, tiada persidangan Dewan Rakyat dan pembentangan Belanjawan 2021 akan dilakukan seperti yang dijadualkan pada 6 November ini.

“Persoalan besar ialah Bajet 2021. Perdana Menteri akan menggunakan perbelanjaan kecemasan untuk perbelanjaan tahun hadapan.

“Bajet itu bukan lagi bajet rakyat kerana ia tidak dibahas dan diluluskan oleh Parlimen. Ia menjadi tidak telus.

“Setelah BN (Barisan Nasional) kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), macam-macam kita dengar. Perdana Menteri Interim, Kerajaan Perpaduan tanpa parti politik dan terkini ‘Prorogue’ Parlimen.

“Terbaik, kita menaruh harapan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja Raja Melayu.”

Demikian pandangan diberikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, hari ini menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebooknya.

Beliau berkata demikian mengulas isu mengenai Belanjawan 2021 yang mungkin akan diteruskan tanpa perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat sekiranya Perintah Darurat dilaksanakan.

Terdahulu, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah akan membawa cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

Ia susulan Muhyiddin menghadap baginda di Istana Abdul Aziz, di Pekan, Pahang selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya, semalam.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam kenyataan sama tidak memalumkan sebarang perkataan khusus, sebaliknya sekadar memberitahu baginda menerima cadangan-cadangan dipersembah oleh Muhyiddin.

Tambah, Mohd. Puad, terdapat tiga persepsi yang akan timbul jika Parlimen benar-benar digantung susulan pelaksanaan Perintah Darurat oleh kerajaan.

Ia termasuklah kemungkinan besar pendaftaran Muafakat Nasional sebagai sebuah parti akan tertangguh.

“Pertama Kerajaan dapat mengelak usul undi tidak percaya bila Parlimen digantung.

“Kedua, kerajaan mahu memastikan Bajet 2021 tidak ditolak melalui undian di Parlimen.

“Ketiga, Muhyiddin menganggap dakwaan Anwar Ibrahim bahawa dia sudah cukup nombor adalah benar. Justeru “Prorogue” Parlimen akan menggagalkan cita cita Anwar.

“Ia turut merencat keputusan Biro Politik UMNO yang mahu menghantar terma hitam putih kepada Muhyiddin. Apatah lagi jika membabitkan rombakan kabinet.

“Sekaligus pendaftaran Muafakat Nasional mungkin akan tertangguh lama,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button