Pendidikan

Pegangan agama penting bentuk sahsiah pelajar – Titah Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Pegangan agama yang teguh memainkan peranan yang besar untuk membentuk pemikiran dan pandangan para pelajar dalam menjalani kehidupan yang didasari dengan ajaran yang terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah agar sentiasa berada di landasan yang tepat dalam mengejar kejayaan di dunia dan di akhirat’.

Tuanku Raja Muda bertitah, ‘Setiap pelajar juga perlu meyakini Keesaan Allah iaitu mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah. Pelajar wajib mendirikan solat lima waktu, secara tidak langsung pembentukan disiplin akan terbentuk dan mengajarkan diri berdisiplin terhadap waktu dan fokus secara spiritual’.

“Pelajar yang merupakan aset masa depan perlu melengkapkan diri dengan pelbagai lapangan ilmu dan cara berfikir kelas pertama dengan menjadikan agama sebagai asas pegangan dalam menjalani kehidupan. Untuk merealisasikan hasrat ini, setiap pelajar perlu menerapkan dan menanamkan elemen kepercayaan atau pegangan agama yang teguh dalam diri masing-masing”, titah Baginda lagi.

Demikitan titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah yang melibatkan seramai 335 orang pelajar tingkatan 1 hingga 3.

Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke program dengan slogan ‘Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala
Tindakan’ itu disambut oleh Pengetua sekolah berkenaan, Idris Ahmad.

Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Penyelaras dari YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

SMA Al Maad telah mengharumkan nama sekolah dan negeri di peringkat antarabangsa dengan membawa pulang dua anugerah terbaik, iaitu satu perak dan satu gangsa di Pertandingan dan Pameran Inovasi Seoul International Invention Fair Korea (SIIF) 2023, Gangnam, Seoul Korea Selatan. Bagi Pertandingan dan Pameran Inovasi Eureka Innovation Exhibition 2023 di UniKL Kulim pula, pasukan sekolah telah membawa pulang dua emas dan dua perak.

Pasukan silat sekolah telah muncul naib johan bagi acara demonstrasi 5×5 berpasukan Kategori 0 di Kejohanan Silat Seni dan 5×5 Berkumpulan Piala SriKandi Tun Fatimah 2023 edisi ke 6, Dewan Cempaka, Pendang Kedah. Produk Hebacesso sekolah pula telah terpilih dalam Innovation Astro Kementerian Ekonomi 2023.

Bagi peringkat negeri, SMA Al Maad telah membawa pulang 3 emas, 5 perak dan 6 gangsa di Kejohanan Pencak Silat SUKMA 2023, Johan pertandingan STEMPRENEUR sempena Karnival STEM Peringkat negeri Perlis dan Naib Johan bagi Pertandingan Drama Melayu (Lelaki) Peringkat Sekolah-Sekolah Negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan perasmian Arena Dataran Pahlawan sekolah ini yang akan digunakan oleh pasukan silat sekolah untuk menjalankan latihan dan persembahan serta ruang serba guna yang dimanfaatkan oleh pihak sekolah.

(Visited 28 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button