Berita GajetEkonomiGajetUlasan

Canon EOS R(evolution) diperluas ke APS-C dengan dua kamera tanpa cermin baharu, lensa RF-S baharu

Canon mengumumkan pelancaran EOS R7 dan EOS R10, kamera-kamera pertama dalam sistem tanpa cermin EOS R yang dilengkapi dengan sensor imej APS-C.

Direka untuk pengguna yang lebih berpengalaman yang memerlukan kamera yang pantas untuk merakam subjek dinamik seperti sukan dan hidupan liar, EOS R-7 32.5 megapiksel berprestasi tinggi menampilkan Penstabilan Imej Dalaman (In-Body IS), pelindung cuaca, dan slot kad SD duaan. EOS R10 24.2 megapiksel yang menampilkan denyar (flash) bina-dalam dan faktor bentuk yang lebih kecil, direka untuk kegunaan harian yang lebih standard. Turut dilancarkan bersama dua kamera tersebut adalah RF-S18-45mm f/4.5-6.3 IS STM dan RF-S18-150mm f/3.5-6.3 IS STM, dua lensa baharu yang dihasilkan untuk mengoptimumkan sepenuhnya kelebihan mobiliti kamera-kamera APS-C baharu tersebut.

“Sistem EOS R mempamerkan kemajuan dan arah tuju Canon dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi. Dengan dua kamera bingkai penuh baharu ini iaitu EOS R7, EOS R10, dan dua lensa kit RF-S baharu, Canon membawakan pengalaman dalam sistem EOS R ke tahap seterusnya dan menawarkan pelbagai manfaat baharu kepada para pengguna kami,” kata Hunter Zhang, Pengarah Bahagian Perniagaan Komunikasi Pengimejan, Canon Marketing Malaysia.

Mewarisi teknologi AF dari EOS R3

Disokong oleh enjin pemprosesan imej DIGIC X yang berkuasa, EOS R7 dan EOS R10 adalah kamera-kamera pertama yang mewarisi teknologi pemfokusan auto (AF) baharu yang pertama sekali diperkenalkan dalam EOS R3. Teknologi ini memanfaatkan keupayaan pengesanan subjek berasaskan pembelajaran mendalam dari sistem EOS iTR AF X – untuk mengesan subjek dengan lebih terperinci di seluruh kawasan imej, dalam semua mod kawasan AF. Ini memberikan pemfokusan auto yang amat responsif dan boleh diharapkan, walaupun dalam adegan dinamik.

Rakaman Berterusan Kelajuan Tinggi; mod letusan RAW

EOS R7 dan EOS R10 masing-masing berupaya menjalankan rakaman berterusan dengan kelajuan tinggi 15 fps dalam mod pengatup tabir pertama (dengan jejakan AF/AE) – kelajuan yang paling tinggi, bukan sahaja untuk semua kamera APS-C EOS, tetapi juga dalam siri EOS R. Ini hampir bersamaan dengan EOS-1D X Mark III, DSLR terbaik Canon, yang berkemampuan merakam kira-kira 16 fps dengan pemidang tilik optikal.

Dalam mod pengatup elektronik, EOS R7 berkemampuan merakam imej 32.5 megapiksel sehingga kira-kira 30 fps rakaman berterusan, manakala EOS R10 boleh merakam imej 24.2 megapiksel sehingga kira-kira 23 fps.

Kedua-dua kamera menampilkan mod letusan RAW, yang merakam imej RAW resolusi penuh sehingga 30 fps. Mod ini menyokong pra-rakaman, yang mula merakam adegan sehingga 0.5 saat sebelum pengatup dilepaskan, membantu merakam peluang-peluang yang tidak dijangka.

Sensor APS-C CMOS dan DIGIC X baharu

EOS R7 dan EOS R10 menggunakan sensor imej APS-C CMOS baharu, masing-masing dengan 32.5 dan 24.2 megapiksel. Apabila digabungkan dengan enjin pemprosesan imej DIGIC X, kedua-duanya mencapai kualiti imej dan resolusi visual melebihi cadangan kiraan megapiksel. Resolusi visual EOS R7 melangkaui EOS 90D dan EOS M6 Mark II walaupun mempunyai resolusi megapiksel yang sama, manakala EOS R10 bersamaan dengan kedua-dua kamera tersebut. Rambut yang lembut, tekstur fabrik dan pelbagai perincian lain boleh dirakam dengan ketepatan dan ketajaman imej.

Penstabilan Imej

EOS R7 adalah kamera APS-C EOS pertama yang menampilkan mekanisme pertukaran sensor jenis 5-paksi Dalaman IS (Penstabil Imej), yang boleh mencapai penstabilan imej bersamaan dengan 8 hentian semasa merakam video dan imej pegun. EOS R7 dan EOS R10 menampilkan Movie Digital IS yang melaksanakan penstabilan imej 5-paksi untuk video yang lebih mantap walaupun ketika menggunakan lensa yang tidak mempunyai Penstabil Imej Optikal (Optical IS).

Kualiti Video Yang Hebat

Bagi pencipta kandungan yang mementingkan kualiti video, EOS R7 boleh menggunakan 7K oversampling untuk merakam video 4K UHD berkualiti tinggi sehungga 30p dalam mod baharu 4K UHD Fine. Rakaman 4K 60p tanpa potongan boleh dibuat dalam mod 4K UHD Standard. Ia juga merupakan kamera fotografi APS-C EOS pertama yang menyokong gamma Canon Log 3 yang sesuai untuk penggredan warna dan penghasilan video HDR.

EOS R10 pula berupaya merakam video 4K UHD Fine 30p dengan menggunakan 6K oversampling. Kedua-dua kamera boleh menjalankan rakaman video 4K HDR PQ.

Kesan Telefoto Bina-Dalam: Capaian Lebih Jauh dengan Resolusi Penuh Kamera

Kelebihan kamera sensor APS-C adalah pada kesan telefoto inheren, yang sama seperti menggunakan penyambung bina dalam. Ini memberi manfaat kepada pengguna yang sering merakam hidupan liar dan subjek lain yang memerlukan panjang fokus yang lebih tinggi. Ruang pandangan boleh dizum secara automatik sehingga kira-kira 1.6 kali daripada panjang fokus yang dinyatakan pada lensa. Tidak seperti ketika menggunakan mod potongan 1.6x untuk kamera bingkai penuh EOS R, rakaman dalam kamera ini menggunakan resolusi penuh sensor imej.

Apabila merakam video dengan EOS R7, potongan inheren 1.6x APS-C boleh digabungkan dengan mod potongan 4K UHD untuk kesan telefoto yang lebih kuat kira-kira 1.8 kali daripada panjang fokus.

Lebih Mudah Dibawa dan Mampu Milik

Sensor imej APS-C adalah kira-kira 40% daripada saiz sensor imej bingkai penuh 35mm, membolehkan kamera dan sistem lensa di sekelilingnya menjadi lebih kecil, ringan, lebih mudah dibawa dan digunakan. Ini juga bermakna ia lebih mampu milik.

Dengan mengoptimumkan penggunaan bahan dan rekaan struktur, Canon telah mengurangkan lagi berat kamera-kamera ini berbanding DSLR. Kemudahan pengendalian digandakan apabila digunakan dengan salah satu kit lensa RF-S baharu, yang mengurangkan jumlah berat sehingga 24%.

Pelekap Pelbagai Fungsi Baharu untuk Kefungsian Lebih Tinggi

Seperti EOS R3, EOS R7 dan EOS R10 dilengkapi dengan Pelekap Pelbagai Fungsi (Multi-Function Shoe) baharu. Ia menyokong komunikasi dan input audio berkelajuan tinggi, memperluaskan rangkaian aksesori yang disokong melebihi Speedlites. Untuk perlindungan daripada habuk dan lembapan, Multi-Function Shoe perlu dilindungi dengan penutup ER-SC2 Multi-Function Shoe (yang boleh dibeli secara berasingan).

Kesesuaian silang dengan lensa RF dan EF/EF-S

Selain lensa-lensa RF-S yang dihasilkan khusus untuk kamera-kamera APS-C EOS R, EOS R7 dan EOS R10 juga boleh digunakan terus bersama lensa-lensa RF yang direka untuk kamera-kamera bingkai penuh. Lensa EF dan EF-S juga boleh digunakan dengan adapter cagak EF-EOS R. Apabila disambungkan dengan lensa yang direka untuk kamera bingkai penuh, kesan telefoto 1.6x akan terpasang secara automatik. Kamera-kamera ini tidak boleh digunakan bersama lensa-lensa EF-M.

Ciri-Ciri Baharu untuk Meningkatkan Ekspresi Kreatif

EOS R7 dan EOS R10 didatangkan dengan beberapa ciri dan peningkatan baharu yang dapat memperkemaskan aliran kerja dan meningkatkan ekspresi kreatif. Ini termasuklah mod Panorama Shot SCN baharu dan mod Panning SCN yang dipertingkatkan dengan penstabilan imej yang lebih baik untuk meningkatkan peluang rakaman pergerakan. Selain itu, mod Depth Compositing di dalam kamera ini secara automatik menggabungkan imej-imej yang difokus secara mendakap, menjadi imej dengan fokus yang jelas dari hadapan ke belakang. EOS R7 juga menampilkan fungsi auto-tegak yang mengesan dan memusingkan sensor imej secara automatik untuk membetulkan imej yang senget dalam imej pegun dan video, menjimatkan masa dan tenaga pengguna untuk memastikan kamera sentiasa berada dalam posisi tegak.

Kedua-dua kamera juga mempunyai ketepatan imbangan putih auto yang lebih baik, hasil algoritma imbangan putih auto baharu yang dibangunkan dengan teknologi pembelajaran mendalam.

Lensa-lensa RF-S pertama Canon: RF-S18-45mm f/4.5-6.3 IS STM dan RF-S18-150mm f/3.5-6.3 IS STM

Turut dilancarkan bersama EOS R7 dan EOS R10, kit lensa RF-S18-45mm f/4.5-6.3 IS STM dan RF-S18-150mm f/3.5-6.3 IS STM dihasilkan dengan tujuan kegunaan sebagai lensa pertama untuk pengguna baharu sistem EOS R. Dengan saiz dan berat yang dikurangkan kerana bulatan imej sensor APS-C yang lebih kecil, panjang dan beratnya hampir sama dengan cagak EF-M yang boleh dibawa di dalam poket – di samping menawarkan manfaat cagak RF yang lebih besar.

Lensa RF-S18-45mm f/4.5-6.3 IS STM adalah lensa zum standard dengan julat panjang fokus 29-72mm dalam terma bingkai penuh, menawarkan julat sudut luas ke medium untuk merakam momen-momen seharian. Dengan panjang kira-kira 44.3 mm dan berat kira-kira 130g, ia sama seperti EF-M15-45mm f/3.5-6.3 IS STM.

Sementara itu, lensa RF-S18-150mm f/3.5-6.3 IS STM adalah lensa zum tinggi yang merangkumi julat panjang fokus yang lebih tinggi iaitu 29-240mm dalam terma bingkai penuh. Lensa semua fungsi yang versatil ini sesuai untuk kembara dan capaian yang lebih tinggi menjadikan ia sesuai untuk merakam pemandangan jauh, sukan kasual dan fotografi hidupan liar, selain kehidupan seharian. Beratnya hanya sekitar 310g dan sepanjang 84.5mm, seperti EF-M18-150mm f/3.5-6.3 IS STM.

Selain kamera-kamera EOS R APS-C, lensa-lensa RF-S boleh dicagak terus ke kamera-kamera sistem bingkai penuh EOS R, yang akan membolehkan mod potongan 1.6x secara automatik.

(Visited 320 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button