Ekonomi

Malaysia peneraju serantau ekonomi digital & tampil sebagai Hab Digital ASEAN

Malaysia akan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital dan tampil sebagai Hab Digital ASEAN menerusi strategi dan perancangan lima tahun (2021-2025) Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa, fokus terkini adalah menjadikan Malaysia sebagai hab ICT adalah selaras dengan inisiatif MyDIGITAL.

“Tujuannya adalah untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan agar Malaysia menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

“Sehubungan itu, K-KOMM memberi tumpuan kepada aspek utama iaitu pengukuhan infrastruktur komunikasi, menarik pelaburan digital, dan membina tenaga kerja serta modal insan dalam sektor teknologi digital,” katanya.

Annuar berkata demikian dalam Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Negara Mesyuarat Kedua di Parlimen.


Dalam masa sama, bagi memperkukuh ekosistem kesalinghubungan, K-KOMM telah melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA sebagai usaha memperluaskan liputan.

“Selain mempertingkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar secara menyeluruh melalui pelbagai inisiatif serta mempersiapkan negara bagi peralihan kepada teknologi 5G, pelaksanaannya dijalankan secara berfasa.

“Ia bermula di kawasan-kawasan yang mempunyai aktiviti ekonomi yang tinggi kerana kelebihan teknologi 5G lebih memberi impak kepada sektor perusahaan dan industri,” katanya.

Kementerian menyasarkan peluasan rangkaian 5G meliputi 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada penghujung tahun 2024.

K-KOMM turut menambah baik infrastruktur ekosistem kesalinghubungan di bawah pelan JENDELA+ bagi menyokong pelaksanaan MyDIGITAL.

“JENDELA+ tertumpu kepada tiga unsur iaitu kesalinghubungan antarabangsa (“International connectivity” atau IC), “Internet Exchange Point” (IXP) dan Pusat Data (“Data Centre” atau DC).

“IC, IXP dan DC saling berintegrasi dan bertindak sebagai penyambung infrastruktur ekosistem yang menyokong penyedia perkhidmatan untuk memenuhi permintaan rangkaian terakhir dalam rantaian nilai ini,” jelasnya.

Penyambung infrastruktur ekosistem amat penting terutamanya dari segi meningkatkan daya saing kabel pembekal yang mampu mengurangkan harga transit Internet Protokol (IP) dan mempertingkatkan jalur lebar.

(Visited 39 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button