Nasional

Pemuda UMNO Akan Diberi Taklimat Mengenai Pelaksanaan Projek 5G Kebangsaan

Satu taklimat berhubung Pelaksanaan Projek 5G Kebangsaan dengan Pemuda UMNO Malaysia akan diatur pada Jumaat ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia dibuat bagi menjelaskan dengan lebih mendalam mengenai pelaksanaan perkhidmatan itu setelah banyak maklumat yang tidak tepat dan tidak terkini diterima oleh Pemuda UMNO Malaysia.

Katanya, beliau telah meneliti memorandum yang diserahkan oleh Pemuda UMNO Malaysia kepada timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berhubung perkara berkenaan dan disebabkan itu taklimat berkenaan perlu diadakan.

“Berdasarkan penelitian yang dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam memorandum tersebut, didapati terdapat banyak maklumat yang tidak tepat dan tidak terkini yang sampai kepada pihak Pemuda UMNO Malaysia.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO Malaysia kerana menyampaikan pandangan mereka dan saya berpandangan, selaku pemimpin muda, mereka berhak untuk mendapat maklumat yang lebih mendalam, tepat dan terkini mengenai pelaksanaan 5G ini secara terus ‘from the horse’s mouth’ atau daripada pihak yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan 5G ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Annuar berkata, beliau telah memanjangkan memorandum tersebut kepada pihak Kementerian Kewangan memandangkan kebanyakan perkara-perkara yang terkandung di dalamnya berada di bawah kementerian itu.

Ujarnya, kementeriannya juga turut menawarkan untuk mengatur majlis bagi memberikan penjelasan lanjut seperti yang pernah dilakukan sebelum ini terhadap untuk ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pemegang taruh yang lain.

Tambah beliau, inisiatif untuk mengadakan taklimat tersebut akan diatur oleh Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Digital Nasional Berhad (DNB).

Katanya lagi, memandangkan taklimat itu amat penting bagi membolehkan golongan muda dan pemimpin parti mendapat penjelasan dan maklumat terkini, beliau turut akan mengundang beberapa pemimpin sayap Puteri dan
Pergerakan Wanita UMNO.

“Semoga melalui majlis ini, semua persoalan yang dibangkitkan dapat dijelaskan secara terperinci oleh agensi yang terbabit,” katanya.

(Visited 197 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button