Nasional

Buka lebih banyak PPV, bantu BE

PEMBUKAAN lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menjadi bukti bahawa Industri Acara Perniagaan (BE) dapat dibuka semula dengan mengambil kira dan melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengawal penularan Covid-19.

Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya inisiatif Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dalam merancakkan kembali industri BE dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, terdapat pelbagai pusat konvensyen di seluruh Malaysia yang boleh dijadikan sebagai PPV untuk menampung kapasiti memvaksin lebih ramai rakyat Malaysia agar kita dapat mencapai ambang kekebalan kawanan (herd immunity) dengan lebih cepat.

“‘Saya amat berterima kasih kepada Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri atas kesudian beliau melawat PPV Mega WTCKL.

“Ini juga dapat menaikkan kembali industri BE”, kata Irmohizam yang juga merupakan Pengerusi Persidangan dan Pameran Asia Pasifik Majlis Penasihat Anggota World Trade Centers Association (WTCA).

Katanya, WTCKL berpengalaman selama lebih 35 tahun dalam mengendalikan pelbagai acara tempatan dan antarabangsa pelbagai skala dan ini sebenarnya memberikan kelebihan kepada WTCKL dalam menjadi PPV Mega yang pertama di Malaysia.

Terkini, seramai 347,300 orang telah menerima vaksin AstraZeneca di PPV Mega WTCKL.

“Kami juga mengharapkan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, program vaksinasi di seluruh negara dapat digiatkan dengan lebih cepat.

“Bahkan keluasan dan kapasiti dewan yang besar di WTCKL mampu untuk menampung seramai lebih 20,000 penerima vaksin sehari,” kata Irmohizam dalam  kenyataannya hari ini.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa bersedia untuk menyokong segala usaha kerajaan terutama sekali bagi program vaksinasi ini.

“Lebih cepat kita capai ambang kekebalan kawanan maka lebih cepat untuk kita semua kembali menjalani kehidupan secara normal,” ujar Irmohizam lagi.

Semalam, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) menerima kunjungan Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau turut bertemu dengan para penerima vaksin serta mendapat taklimat daripada pihak pengurusan WTCKL tentang proses pengendalian vaksin di PPV Mega WTCKL.

Dalam masa yang sama, Industri Acara Perniagaan (BE) bersedia menawarkan perkhidmatan dan ruang acara dalam usaha membantu pihak kerajaan untuk mempercepatkan dan menggiatkan lagi pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia.

Perkhidmatan industri BE merangkumi penggunaan ruang acara yang mampu untuk menampung kapasiti pengunjung berskala besar serta kelebihan penganjur acara dalam aspek ‘crowd control’ serta memastikan amalan penjarakan sosial dilaksanakan bagi  mengurangkan kebarangkalian jangkitan Covid-19. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button