Nasional

KWP tambah saluran bantu individu hadapi tekanan mental

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengambil tindakan segera untuk membantu masyarakat terutama di Wilayah Persekutuan yang mengalami masalah kesihatan mental.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, isu kesihatan mental dalam kalangan anggota masyarakat terutama di bandar mesti ditangani dengan segera. Untuk itu KWP akan menambahkan lagi saluran dan program yang dapat membantu kumpulan terbabit.

“Saya menyeru semua pihak meningkatkan kesiap-siagaan untuk secara proaktif membantu rakyat yang tertekan dengan menghulurkan bantuan sewajarnya.

“KWP akan menambah lagi saluran dan program yang boleh membantu golongan berkenaan. Pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” kata Annuar dalam satu kenyataan.

Katanya, masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat perlu diatasi secara bersama oleh kerajaan, pihak yang berkepakaran dalam bidang kesihatan mental dan melalui bantuan daripada anggota masyarakat.

Tambahnya, masyarakat setempat merupakan pihak yang paling hampir dengan golongan yang mempunyai gejala tekanan kesihatan mental.

Justeru beliau akan mengadakan perbincangan secara maya dengan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) peringkat zon dan sub-zon esok pukul 2.00 petang bagi menggerakkan tindakan segera untuk membantu kumpulan terbabit.

“Kementerian Wilayah Persekutuan memandang serius masalah kesihatan mental yang berlaku dalam masyarakat terutamanya di Wilayah Persekutuan pada masa kini.

“Atas kesedaran ini KWP berhasrat untuk mengenal pasti lebih awal golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan emosi serta ingin menggerakkan pelbagai inisiatif dan tindakan segera melalui kerjasama semua pihak terutamanya pemimpin-pemimpin masyarakat setempat,” kata Annuar.

Annuar turut mengajak semua ahli Parlimen yang telah mendapat peruntukan RM300,000 dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) untuk bekerjasama dalam menyelaraskan program bantuan kepada rakyat.-SM

 

 

(Visited 74 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button