Agama

Berwakaf sebelum hujung nyawa – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyarankan setiap umat Islam mensasarkan pencapaian peribadi dalam melaksanakan ibadah wakaf.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri Majlis Bicara Ilmu bertajuk ‘Ke Mana Pergi Harta Kita?’ yang diadakan di Auditorium Bangunan Canselori, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra, Perlis semalam.

“Rebutlah peluang selagi bernyawa untuk melaksanakan ibadah wakaf dengan harapan menjana keuntungan berpanjangan selepas meninggal dunia,” demikian titah baginda sebagai menyahut saranan Prof. Madya Dr. Hj. Huzili Husin, selaku panel forum berkenaan.

Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda disambut oleh Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi-fungsi Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad serta para pegawai kanan universiti.

Majlis yang berlangsung selama hampir 2 jam tersebut dikendalikan oleh moderatornya iaitu Ustaz Shafiy Zakaria dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta ahli panel terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs Ustaz Mohd Rizal Azizan dan Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi Dan Kelestarian Sosial UniMAP Prof. Madya Dr. Haji Huzili Hussin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs dan Canselor UniMAP bertitah menyarankan agar umat Islam di negeri Perlis melaksanakan ibadah wakaf melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang merupakan pemegang amanah tunggah harta wakaf di negeri Perlis.

Pada majlis tersebut, MAIPs turut menyerahkan “Wakaf Ma’ As-Sabil” yang merupakan satu inisiatif MAIPs dalam menyemarakkan agenda ibadah berwakaf di kalangan masyarakat.

Terdahulu daripada itu, dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Mohd Rizal Arshad memaklumkan bahawa antara inisiatif yang dijalankan oleh pihak UniMAP setakat ini adalah Tabung Wakaf Penapis Air yang bermatlamat untuk membekalkan air minuman yang bersih kepada para pelajar di mana 20 unit penapis air telah ditempatkan di 19 kolej kediaman dan ia boleh dimanfaatkan secara bersama oleh para pelajar dan juga kakitangan.

Tambah beliau lagi, terdapat beberapa projek wakaf lain yang sedang berlangsung seperti Wakaf Tunai dan Wakaf Apartmen Pelajar. Sehingga kini, nilai wakaf yang berjaya dikumpul ialah sebanyak RM1.2 juta.

Program ‘Bicara Ilmu’ ini dianjurkan oleh Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri Dan Masyarakat (CEICnet) melalui kerjasama erat dengan MAIPs. Turut hadir para Dekan dan Ketua Jabatan UniMAP, Wakil Kelab Sokongan Ibu Bapa Anak Autisme (Little Hiccups) dan wakil-wakil daripada beberapa buah Institusi Pengajian Tinggi lain di negeri ini.

Dalam majlis tersebut UniMAP turut melancarkan laman web crowdfunding@UniMAP yang memaparkan informasi utama antaranya Wakaf, Endowmen dan projek-projek khas UniMAP dan sebagainya.

Ia juga memaparkan segala berita dan aktiviti terkini berkaitan program tersebut. Terdapat 6 projek yang terlibat iaitu Wakaf Masjid, Wakaf Penginapan Pelajar, Wakaf Kursi Akademik, Endowmen Pelajar, Endowmen Pembangunan, Keusahawan Pelajar dan SIPER.

Laman tersebut juga, menyediakan pembayaran secara atas talian menggunakan JomPay dan QRPay untuk memudahkan pengguna membuat pembayaran. FPX Internet Banking dan SenangPay juga akan digunakan di masa akan datang. Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan boleh layari laman sesawang www.crowdfunding.unimap.edu.my.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button