fbpx
Politik

Bentuk kerajaan: NGO buat 46 laporan polis terhadap Anwar

SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan membuat 46 laporan polis terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung kenyataan dia mempunyai sokongan cukup untuk menubuhkan kerajaan persekutuan baru.

Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara (PPKN) meminta pihak polis menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar itu kerana didakwa mempunyai unsur hasutan.

Pengerusinya, Nor Hizwan Ahmad berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar sebagai serius dan boleh menggugat kestablilan politik negara.

“Kami mewakili gabungan badan bukan kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan di seluruh negara memaklumkan bahawa secara keseluruhan kami telah membuat sebanyak 46 laporan polis terhadap Anwar Ibrahim.

“Perkara ini amat serius kerana ia berkaitan kenyataan yang disebut dalam sidang media Anwar, yang jelas bukan sahaja percubaan untuk menggugat kestabilan politik tetapi ekonomi negara. Ia malah melanggar Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam perkara 43(4),” katanya dalam sidang media di Subang Jaya, hari ini.


Hizwan berkata, akan ada lagi laporan polis terhadap Anwar yang bakal menyusul.

Anwar dalam sidang akhbar pada 23 September mengumumkan bahawa beliau telah mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu mengantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sudah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Bagaimanapun majlis menghadap itu terpaksa ditangguhkan kerana Al-Sultan Abdullah dirawat di hospital.

Semalam Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, Anwar hanya menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap bagi mengemukakan hasrat membentuk kerajaan baharu.

Johari berkata, perkara itu diketahui Istana Negara seperti yang dijelaskan sebelum ini, namun hanya menunggu kesihatan Seri Paduka lebih stabil untuk menerima menghadap. “Tunggu istana kata okey…”.-SM

Show More

Related Articles

Back to top button