Nasionalpilihan

Bekalan vaksin meningkat kepada 16 juta dos pada hujung Julai

BEKALAN vaksin Covid-19 untuk rakyat akan meningkat sebanyak 16 juta dos pada hujung bulan Julai depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peningkatan kadar pemberian vaksin harian juga membuatkan pihaknya lebih yakin untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

“Keadaan ini amat berbeza sekali dengan situasi lebih setahun yang lalu apabila kita melaksanakan PKP buat kali pertama di mana kita masih belum mempunyai vaksin.

“Satu-satunya jalan keluar pada masa itu ialah lockdown dan tindakan kesihatan awam untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Namun hari ini, dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak dan pelaksanaan proses vaksinasi yang semakin rancak, kita telah dapat melihat sinar yang lebih terang di hujung terowong,” katanya dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Negara, hari ini.

Menurut Muhyiddin, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kadar vaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga telah meningkat kepada 50,000 hingga 80,000 sekitar bulan Mei.

Jelas beliau, pada semalam, kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos dan beliau yakin usaha ini akan terus dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari dalam bulan-bulan mendatang.

“Kita bukan sahaja sudah berjaya memberikan vaksinasi kepada hampir kesemua frontliners, malahan lebih 50 peratus daripada golongan yang berusia 60 tahun ke atas telah menerima dos pertama.

“Kita akan terus mengutamakan golongan rentan COVID-19 yang lain seperti mereka yang mempunyai komorbiditi, dan seterusnya mereka yang berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga sedang mengkaji pemberian vaksin kepada anak anak kita yang berusia 12 hingga 17 tahun. -SM

(Visited 347 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button