fbpx
Berita

Azwanddin mengaku tidak bersalah beri ucapan berhubung Peristiwa 13 Mei

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistert Ampang di sini hari ini atas pertuduhan membuat ucapan yang akan menyebabkan ketakutan kepada orang ramai berhubung  ‘Peristiwa 13 Mei 1969.’

Azwanddin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Tertuduh didakwa telah membuat ucapan mengenai kenyataan ingin mengulangi Peristiwa 13 Mei 1969 dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada mana-mana orang yang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Ahli perniagaan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik media NTH Media, Tingkat 11, Menara A Pandan Capital, Pandan Indah di sini pada 2 petang, 21 Nov 2018 mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peristiwa 13 Mei 1969 adalah peristiwa yang diingati sebagai hari berlakunya peristiwa berdarah rusuhan kaum paling dahsyat di Malaysia dan perlu menjadi pengajaran mengenai betapa pentingnya masyarakat berbilang kaum di negara ini terus bersatu-padu serta hidup dalam suasana harmoni.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Reen menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Azwanddin, yang diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff, merayu jaminan minimum atas alasan bahawa dia telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.

“Tertuduh mempunyai empat orang anak dan kesemuanya masih bersekolah.  Selain itu, seorang daripada anak tertuduh adalah Orang Kelainan Upaya,” katanya.

Mahkamah membenarkan Azwanddin diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Mac sebagai sebutan semula kes.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button