Auto TravelBerita Auto

ART Day 2023 berjaya himpun kereta & motor berkuasa tinggi terbesar

ACARA sukan automotif, ‘Adrenaline Rush Track Day 2023’ (ART Day 2023) telah berlangsung dengan penuh meriah pada hari Sabtu yang lalu di Paddock Utara, Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

ART Day 2023 dianjurkan buat julung kalinya oleh Kelab U-Supercars, menampilkan Utama Motors sebagai penaja utama, telah dihadiri lebih 5 ribu pengunjung yang memenuhi kawasan pit bagi menyaksikan dengan dekat himpunan pelbagai kereta dan motor berkuasa tinggi.

Acara ini telah dibuka dengan majlis pelancaran Kelab U-Supercars dan Kelab PEKEMA Auto, yang disaksikan para jemputan khas, barisan media elektronik dan media cetak, pempengaruh (influencer), blogger dan peserta-peserta perarakan kereta dan motor berkuasa tinggi di Kelab Paddock Selatan, Litar Antarabangsa Sepang.

Majlis pelancaran telah menyaksikan Pengarah Urusan Utama Motors, yang juga merupakan penaung Kelab U-Supercars, Dato Marof Khan Mohamed Idris dan Dato’ Haji Mohamed Nazari Noordin, selaku Pemangku Presiden, Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), memotong reben sebagai simbolik rasminya penubuhan kedua-dua kelab automotif tersebut.

Dalam ucapannya, Dato’ Marof Khan memberitahu tujuan utama penubuhan Kelab U-Supercars adalah untuk berkongsi minat, pengalaman dan kepakaran yang mereka miliki dalam industri automotif, melalui program sosial dan riadah yang berfaedah kepada masyarakat, selain menyemarakkan semangat setia kawan dalam kalangan ahli Kelab U-Supercars melalui aktiviti seperti konvoi, pameran kereta dan sebagainya.

Dato’ Marof Khan menzahirkan penghargaan kerana penubuhan Kelab U-Supercars milik Utama Motors itu telah mendapat sokongan daripada Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), sekaligus diberi penghormatan untuk merasmikan kelab tersebut dengan PEKEMA Auto Club.

Menurut Datuk Haji Mohamed Nazari Noordin, pelancaran PEKEMA Auto Club adalah penjenamaan semula daripada kelab yang dahulunya dikenali sebagai PEKEMA Riders Club, dengan tujuan untuk memperluaskan keahlian kelab bukan sahaja kepada motosikal malah kepada kereta. Dalam usaha untuk menggalakan penggunaan kenderaan elektrik di kalangan masyarakat, Datuk Haji Mohamed Nazari berharap dengan penubuhan PEKEMA Auto Club, dapat memberi pendedahan dan berkongsi kepakaran dengan ahli-ahli kelab tentang teknologi kenderaan elektrik.

“Perhimpunan seperti ART Day 2023 ini menjadi landasan untuk mengukuhkan ukhwah, perpaduan dan keharmonian di kalangan ahli-ahli komuniti kelab automotif. Semoga lebih banyak program sebegini dapat diadakan setiap tahun bagi memberi peluang kepada peminat-peminat kereta berkongsi minat dan bertukar pendapat di samping merasai pengalaman memandu dalam suasana trak bertaraf antarabangsa yang lebih selamat berbanding di jalan raya,” ujar Datuk Haji Mohamed Nazari.

ART Day 2023 telah diiktiraf Malaysia Book of Records kerana telah berjaya menganjurkan perarakan secara serentak yang terdiri daripada 650 buah kereta berkuasa tinggi dan kereta sport serta 312 motor Harley Davidson yang hadir daripada seluruh negara termasuklah negara jiran, Singapura.

Sokongan daripada kelab-kelab automotif seperti Malaysia Singapore Supercar Club, Mustang Club Malaysia, Northern Speedo, TerMeetup Club dan Majlis Belia Malaysia telah menyumbang kepada kejayaan acara tersebut menjadi sebuah perhimpunan automotif kebangsaan yang terbesar. Turut sama berkongsi pengalaman menyertai perarakan terbesar itu adalah beberapa orang selebriti tanah air, antaranya Dato AC Mizal, Roy Azman dan Shamsul Ghau-Ghau.

ART Day 2023 telah berjaya mendapat sokongan pemain-pemain industri automotif tempatan antaranya SMI Cars, FS Bikes, Carlist.my, KOPETRO Retail dan SUKE TV yang bertindak sebagai rakan media rasmi. Selain Utama Motors, turut tampil sebagai penaja adalah Aeon Big, Liberty Insurance, EZCare Warranty, Smart Warranty, APEG Warranty, Elrah Exclusive, Kacey Legacy, Optimum Premium Motors (OPM) dan Drex Precision Services.

Selain berpeluang melihat sendiri secara dekat keunikkan kereta dan motor berkuasa tinggi serta kereta sport, pengunjung-pengunjung telah dihiburkan dengan persembahan tanpa henti selama 4 jam oleh Ayu Damit, Baby Shima, Fareed K Clique dan DJ Fuzz yang dihoskan oleh penghibur Hilmi Gimik dan Acad Raja Lawak. – SM 

Artikel berkaitan > ART Day 2023 bakal himpunkan kereta berprestasi tinggi di SIC

(Visited 443 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button