Sukan

Al Jufferi bantu lengkapkan sasaran pingat emas ketujuh

Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Melaka

Juara dunia tiga kali, Mohd. Al Jufferi Jamari melengkapkan kutipan pingat emas ketujuh mencapai sasaran buat kontinjen silat negara menamatkan saingan enam hari Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang menutup gelanggang malam tadi.

Perjuangan sembilan pesilat negara iaitu empat lelaki dan lima wanita yang melangkah ke saingan akhir, hanya empat kilauan emas berjaya dituai disebalik kontroversi yang berlaku sewaktu pertemuan Mohammad Khairi Adib Azhar dan Aniq Asri Mohammad dari Singapura.

Tiga pingat emas sebelum itu disumbang menerusi acara silat artistik yang menutup gelanggang pada Jumaat.

Lebih manis pesilat wanita negara, Nor Farah Mazlan dianugerahkan atlet terbaik wanita manakala Khoirudin Mustakim dari Indonesia pula atlet lelaki terbaik.

Selain itu, Indonesia pula diumumkan juara keseluruhan selepas memenangi 11 emas, 9 perak dan 8 gangsa diikuti kontinjen negara selaku naib juara dengan mengutip 7 emas, 8 perak dan 8 gangsa manakala Vietnam di tempat ketiga dengan 6 emas, 4 perak dan 11 gangsa.

Kemenangan Mohd. Al-Jufferi meraih emas terakhir negara cukup manis apabila kejayaan itu turut disaksikan dihadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum itu menyempurnakan majlis penutupan kejuaraan selama enam hari itu.

Buat atlet berusia 30 tahun berasal dari Pahang itu, kejuaraan dunia yang disandang dalam kelas F menewaskan Iqbal Chandra Pratama dari Indonesia dengan keputusan 35-21 menobatkannya mendakap gelaran dunia keempat sejak 2012.

Jelas kehebatan pesilat negara itu tiada tandingan buat atlet dari Indonesia yang tunduk mudah di hadapan kira-kira 1,200 penonton yang memenuhi setiap ruang tempat duduk yang disediakan.

Kemenangan itu menebus kekecewaan selepas rakan sepasukannya, Siti Rahmah Mohamed Nasir gagal mempertahankan gelaran yang disandangnya di Singapura pada 2018 apabila tumpas kepada Quang Thi Thu Nghia dari Vietnam dengan 35-60.

Tiga lagi emas milik negara disumbangkan menerusi Muhammad Robial Sobri, Nor Farah Mazlan dan Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir.

Bertanding dalam Kelas I, Muhammad Robial meraih kemenangan selepas penyertaan lawannya, Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin dari Singapura dibatalkan sebelum tamat pusingan ketiga
.
Buat pesilat berasal dari Kedah itu kemenangan tersebut adalah gelaran pertamanya dinobatkan selaku juara dunia bagi kelas I sewaktu berkedudukan 16-18.

Kemenangan itu susulan tindakan lawannya dari Singapura yang menumbuk di bahagian pipi kanan Muhammad Robial, sekali gus menyebabkan pesilat negara terjatuh serta dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Nor Farah kini mampu mendabik dada apabila menyertai senarai juara dunia yang pertama buatnya selepas meraih kemenangan dalam Kelas F.

Beraksi dalam saingan penuh sengit menentang Nadhrah Sahrin dari Singapura, pesilat dari Kota Belud, Sabah berusia 24 tahun itu berjaya melakar kemenangan tipis 25-23.

Terdahulu Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir tidak ketinggalan melakar nama sebagai juara dunia Kelas Terbuka 2 tanpa perlu mengerah keringat.

Pemenang pingat emas Silat Kebangsaan ke-19 Pahang itu melakar kemenangan selepas Lo Thi Tuoi dari Vietnam menarik diri akibat kecederaan ketika mendahului 13-9.

Kejuaraan kali ke-19 itu yang berlangsung sejak 26 Julai lalu disertai lebih 500 peserta daripada 40 negara yang mengambil antaranya ialah Indonesia, Thailand, Filipina, Kanada, Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Vietnam. – SM

(Visited 423 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button