albatros

Aktiviti berkhemah jadi kegilaan orang ramai

Beberapa minggu ini tiba-tiba sahaja saya aktif kembali berkhemah, bagi mengisi lapang dan mengelakkan kebosanan tidak dapat melancong keluar dari Selangor.

Setelah lama tidak berkhemah saya mengatur plan untuk beraktiviti bersama keluarga dan semua sangat teruja.

Perkhemahan pertama kami di tapak perkhemahan GG Retreat di Serendah. Tapak perkhemahan tersebut baharu sahaja dibuka dan saya temuinya ketika berkayuh basikal bersama rakan.

Kedudukan tapak perkhemahan bersebelahan air terjun Serendah memberi kelebihan kepada tapak berkenaan. Air terjun yang bersih dan selepas sangat menyenangkan.

Selain itu kawasan berkenaan dikelilingi hutan yang tebal menjadikan suhu pada waktu malam agak nyaman dan menyenangkan.

Selain menyediakan kemudahan aktiviti perkhemahan, tapak berkenaan juga mempunyai kolam ikan.

Di kawasan berkenaan juga terdapat kedai yang menjual makanan serta minuman bagi mereka yang malas  untuk memasak.

Satu sahaja kekurangan kawasan berkenaan ialah ia tidak mempunyai liputan telefon selular dan internet hanya dapat diakses melalui kemudahan satelit yang disediakan dengan bayaran RM10 bagi 1Gigabite. Itupun isyarat juga tidak stabil dan hanya dibuka pada waktu tertentu sahaja.

Bagi mereka yang mahu melarikan diri daripada kesibukan dan diganggu dengan pelbagai urusan ia satu bonus, tetapi bagi mereka yang mempunyai pelbagai kerja yang perlu diuruskan ia agak menyukarkan.

Selepas itu kami sekeluarga mencuba berkhemah di tepi pantai iaitu di Bagan Lalang, Sepang.

Ini adalah pengalaman pertama kami berkhemah di tepi pantai. Rupa-rupanya banyak ilmu mengenai air pasang dan angin perlu diketahui.

Fenomena air pasang serta surut dan ribut perlu difahami bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Pada sebelah malam kami telah dilanda ribut dan khemah hampir diterbangkan angin kencang.

Sehingga kami terpaksa meruntuhkan khemah dan menindihnya dengan batu sehinggalah pukul 12 tengah malam barulah angin reda dan khemah boleh dinaikkan semula.

Kelebihan berkhemah di Bagan Lalang ialah kita dapat membeli ikan dan tangkapan laut yang lain yang segar untuk dibakar.

Balik dari Bagan Lalang kami berkhemah pula di Resort Taman Rimba Komanwel Rawang.

Berkhemah di padang saja. Tapi masa nak masuk ke kawasan campsite, saya lihat ada seorang lelaki sedang bertekak dengan pengawal.

Rupanya dia tidak booking tapak khemah dan berkeras mahu masuk berkhemah.

Bila bersembang dengan pengawal, macam-macam cerita timbul, termasuklah ada yang bayar satu petak tapak khemah, tapi pasang khemah sampai dua tapak.

Bila pengurusan site mintak bayar dua tapak, siap bergaduh sampai kecoh.

Tapi saya bernasib baik kerana berjiran dengan tiga camper yang sporting.

Dua famili local yang sangat ringan tangan membantu dan satu famili lelaki Korea Selatan dan isterinya orang putih dari UK.

Memang best kami lepak borak. Lelaki Korea pula dah lama kerja di Malaysia selain berbahasa Inggeris dia juga faham dan boleh berturut bahasa Melayu.

Jadi walaupun hanya berkhemah di tepi padang, pengalaman bertemu dengan rakan baharu sangat mengujakan.

Aktiviti berkhemah sekeluarga ditangguh sehingga selepas raya bagi memberi tumpuan kepada ibadah puasa.

(Visited 1,370 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button