Nasional

Perentas tidak dibenarkan sertai solat Aidiladha di Perlis

Mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan atau negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran ke negeri Perlis termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari adalah tidak dibenarkan hadir ke Solat Aidiladha 1442H/2021M di mana-mana tanah lapang yang diputuskan jawatankuasa kariah masjid di seluruh negeri Perlis.

Demikian juga ahli keluarga mereka yang tinggal bersama tidak dibenarkan hadir melainkan ahli keluarga yang telah lengkap 2 dos suntikan vaksin.

Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP.

Demikian titah peringatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui amil kariah Masjid Kampung Binjal, Shahrizan Abu berjumlah RM400 setiap seorang bernilai penuh RM11,600 untuk diagihkan kepada seramai 29 asnaf terpilih lain dari kalangan asnaf kariah masjid berkenaan semalam.

Penyerahan tersebut disempurnakan baginda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs diiringi sama oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Hamizan Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor sejurus selepas solat jumaat bersempena aktiviti Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke-21 bagi tahun 2021.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah memaklumkan bahawa bagi Kariah Kota Raja Arau, Solat Aidiladha akan didirikan di Dataran Istiadat Istana Arau pada jam 8 pagi untuk sesi pertama manakala bagi sesi kedua sekiranya berlaku limpahan akan ditunaikan di perkarangan Masjid Negeri Arau pada jam 9 pagi.

Selain itu, tambah baginda, sekiranya berlaku keadaan cuaca yang tidak mengizinkan seperti hujan lebat, maka sebanyak 1 sesi solat sahaja akan didirikan di masjid-masjid berdasarkan kapasiti maksimum dengan penjagaan SOP ketat pada jam 8.30 pagi manakala jemaah yang tidak dapat menyertai perlu mengalami penyuraian dengan pulang menunaikan Solat Aidiladha di rumah seperti panduan dan khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Pada kesempatan yang sama juga Mohd Nazim mengulangi saranan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menyeru masyarakat agar mengambil iktibar daripada kesilapan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) khususnya ketika sambutan perayaan-perayaan lalu sehingga mencetuskan jangkitan COVID-19.

Dr Noor Hisham dilaporkan berkata beberapa kluster komuniti tercetus berikutan aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah berlainan ketika perayaan serta majlis pengebumian.

Selepas penyerahan tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada asnaf Amran Ghazali, 47 tahun yang tinggal tidak jauh daripada masjid berkenaan bersama isteri dan 3 orang anak. Beliau yang merupakan salah seorang penerima bantuan bulanan MAIPs dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri serta Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs tidak lagi boleh bekerja sejak beberapa tahun yang lalu kerana mengidap penyakit kencing manis kronik dan juga penyakit buah pinggang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button